Rumah Bangsa Umno ke arah malapetaka, kata Lokman Adam

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Lokman Noor Adam meluahkan kebimbangan terhadap perkembangan semasa melibatkan gagasan Rumah Bangsa.

Menurutnya, segala usaha yang dilakukan selama lebih tiga tahun bagi menjayakan agenda undi silang antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dilihat seperti semakin gagal mencapai matlamat asal.

Katanya, pelbagai usaha yang telah digerakkan selama ini seolah-olah menjadi sia-sia apabila perkembangan terkini menunjukkan keadaan yang semakin parah.

“Sekarang ini gayanya keadaan nampaknya semakin parah. Segala usaha kita selama lebih tiga tahun untuk menjayakan undi silang antara BN dan PH, akhirnya jatuh masuk longkang semua,” katanya dalam satu siaran podcast.

Lokman berkata, segala kerja keras yang dilakukan sebelum ini kini ibarat mencurah air ke daun keladi apabila hasil yang diharapkan tidak menjadi kenyataan.

Beliau bagaimanapun mengakui idea seperti Rumah Bangsa pada asalnya mungkin kelihatan baik dan indah sebagai strategi menuju pilihan raya.

Namun menurutnya, tanda-tanda bahawa gagasan tersebut boleh membawa kesan sebaliknya kepada landskap politik negara kini semakin jelas kelihatan.

“Buat benda yang baik seperti Rumah Bangsa mungkinlah nampak indah menuju pilihan raya.

“Tapi tanda-tanda Rumah Bangsa nak menjadi Malapetaka Bangsa itu sudah ada. Nak buat macam mana,” ujarnya.

Tambah beliau, risiko sedemikian sememangnya perlu diambil apabila sesuatu kerjasama dibina atas dasar sangkaan baik, namun situasi semasa menunjukkan keadaan tidak berkembang seperti yang diharapkan.

“Itulah risiko yang perlu diambil, kita bersangka baik tapi dibalas dengan keadaan sebegini,” kata Lokman lagi.

BACA JUGA Selepas Pas noktahkan kerjasama parti, ini nasib dua Exco Bersatu Kelantan