Kalau mahu BN menang Johor, tarik diri sahaja dari 11 kerusi
Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar menggesa Pas supaya tidak mempermainkan maruah pengundi Johor dengan menghantar mesej politik yang bercanggah sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Beliau berkata, arahan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang meminta ahli, penyokong dan pengundi Pas mengundi calon BN di kawasan yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN) menimbulkan kekeliruan serius terhadap pendirian sebenar parti itu.
Katanya, pendekatan tersebut mencerminkan politik baharu Pas yang merosakkan prinsip demokrasi kerana di satu pihak Pas meminta rakyat menolak BN di 11 kerusi yang ditandinginya, tetapi pada masa sama secara rasmi mengarahkan penyokong membantu kemenangan BN di kawasan lain.
“Jadi, yang mana satu pendirian Pas? Adakah BN parti yang wajib ditolak, atau parti yang wajib disokong? Prinsip politik tidak boleh berubah mengikut sempadan DUN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mahfuz berkata, sekiranya Pas benar-benar percaya Johor perlu terus diperintah BN atas alasan mahu mempertahankan kerajaan Melayu-Islam, parti itu sepatutnya berterus terang kepada rakyat dan menarik diri daripada semua 11 kerusi yang sedang ditandingi.
Menurutnya, tindakan meminta rakyat menjatuhkan BN di sesetengah kawasan tetapi mengarahkan kemenangan BN di kawasan lain adalah pendirian yang tidak jujur dan hanya mengelirukan pengundi.
“Tarik diri sahaja daripada 11 kerusi yang ditandingi dan beri laluan sepenuhnya kepada BN.
“Itulah pendirian yang jelas dan jujur. Jangan di satu tempat meminta rakyat mengalahkan BN, tetapi di tempat lain mengarahkan rakyat memenangkan BN,” kata Mahfuz.
Kerjasama politik
Terdahulu, Tuan Ibrahim dilaporkan menggesa penyokong PN mengundi calon BN di kerusi yang tidak ditandingi gabungan pembangkang itu pada PRN Johor bagi menghalang kemenangan PH.
Tuan Ibrahim bagaimanapun menegaskan pendirian itu tidak bermaksud Pas menjalin kerjasama politik dengan BN pada PRN Johor.
Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, lebih menyedihkan ahli-ahli Pas yang selama puluhan tahun diajar melihat Umno sebagai lawan politik tetapi kini diminta pula mengundi parti sama bergantung kepada strategi pilihan raya.
“Penyokong Pas telah berkorban masa, tenaga dan wang demi perjuangan parti. Mereka bukan alat percaturan politik yang boleh diarahkan sesuka hati mengikut strategi pilihan raya.
“Mereka berhak mendapat penjelasan yang jujur, bukannya arahan yang berubah-ubah,” katanya.
Bekas Naib Presiden Pas berkenaan turut menegaskan rakyat Johor berhak mengetahui sama ada Pas benar-benar mahu menggantikan BN atau sebenarnya sedang membantu memastikan BN terus memerintah negeri itu.
“Jika benar mahu menjadi pembangkang, lawan BN secara konsisten. Jika benar mahu BN terus memerintah Johor, nyatakan secara terbuka dan tarik diri daripada semua kerusi yang ditandingi.
“Kejujuran kepada rakyat jauh lebih mulia daripada percaturan politik yang mengelirukan. Bangsa Johor bukan barang jualan,” tegas Mahfuz lagi.
BACA JUGA PH sasar tawan lebih 12 kerusi DUN Johor