KDN beri jaminan: Tiada intip rakyat untuk kepentingan politik
Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan tiada sebarang aktiviti pintasan komunikasi atau pemantauan terhadap rakyat dilakukan atas motif politik, sebaliknya hanya dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang yang ketat dan tertakluk kepada syak munasabah.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebarang tindakan risikan komunikasi oleh agensi penguatkuasaan di bawah kementerian itu hanya boleh dilakukan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada, termasuk Kanun Prosedur Jenayah, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
Beliau berkata, hak privasi dan kebebasan komunikasi setiap rakyat Malaysia sentiasa dilindungi dan dihormati.
“Kementerian memberikan jaminan bahawa hak privasi dan kebebasan komunikasi setiap rakyat Malaysia sentiasa dilindungi dan dihormati.
“Sebarang bentuk pemantauan, pintasan atau tindakan risikan perhubungan komunikasi yang dilaksanakan oleh agensi penguatkuasaan di bawah KDN hanya dilakukan berlandaskan peruntukan perundangan yang ketat dan telus,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang meminta kerajaan menyatakan jaminan bahawa hak privasi dan kebebasan komunikasi rakyat dilindungi daripada sebarang bentuk pemantauan yang tidak sah atau bermotif politik.
Saifuddin turut menegaskan bahawa fokus utama tindakan penguatkuasaan adalah bagi mempertahankan kedaulatan negara daripada ancaman nyata seperti jenayah terancang, kegiatan subversif dan ekstremisme.
Menurutnya, langkah berkenaan sama sekali bukan bertujuan menyekat kebebasan bersuara atau mencabuli hak privasi individu yang dijamin di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.
“Kementerian komited memastikan setiap tindakan penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan secara profesional, neutral dan berintegriti,” katanya.
Kenyataan itu hadir ketika isu berkaitan privasi digital dan dakwaan penyalahgunaan kuasa bagi tujuan pemantauan politik terus menjadi perhatian pelbagai pihak, terutama susulan kebimbangan mengenai keselamatan data dan kebebasan komunikasi dalam era digital.
BACA JUGA Itu menantu Mat Sabu! Wanita Muda AMANAH lapor SKMM, polis