Siang Bersatu, malam bersama Umno, bukti Pas pentingkan kuasa berbanding prinsip.

Pas didakwa sedang menyusun percaturan politik bagi membuka ruang perkongsian kuasa di Johor, sekali gus berpotensi mewujudkan ketidakstabilan pentadbiran negeri sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Setiausaha Agung AMANAH, Muhammad Faiz Fadzil, berkata beberapa kenyataan pimpinan tertinggi Pas sejak kebelakangan ini menunjukkan parti itu lebih mengutamakan percaturan kuasa berbanding prinsip politik yang konsisten.

Beliau berkata, kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa matlamat parti itu dalam PRN Johor adalah memastikan negeri itu diterajui oleh orang Melayu Islam menunjukkan Pas sekali lagi memainkan sentimen kaum dan agama.

“Keperluan rakyat Johor ketika ini bukanlah retorik perkauman, sebaliknya memastikan pembangunan negeri terus dipacu secara mampan dan berterusan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhammad Faiz turut membangkitkan kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menggesa ahli Pas mengundi calon BN di kerusi yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, gesaan itu memberi isyarat bahawa Pas sedang mencari ruang untuk kembali bersama BN dan menagih tempat dalam pentadbiran negeri sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan.

“Ia menunjukkan konflik halatuju dalam Pas dan keadaan ini sangat berbahaya kerana boleh mewujudkan ketidakstabilan politik di Johor,” katanya.

Beliau mendakwa Pas mempunyai rekod sebagai parti yang menjadi punca ketidakstabilan politik negara, termasuk penglibatannya dalam Langkah Sheraton yang menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2020.

Katanya, Pas kini dilihat gagal menguruskan hubungan dalam PN apabila mengumumkan “perceraian politik” dengan Bersatu, namun kedua-dua parti masih kekal berada dalam gabungan sama.

“Malah Pas turut mengumumkan tidak akan membantu kempen calon Bersatu dalam PRN Johor.

“Ini bermakna Pas bersama Bersatu pada siang hari, tetapi bersama Umno pada waktu malam,” katanya.

Muhammad Faiz berkata, perubahan pendirian Pas daripada bekerjasama dengan Umno kepada Bersatu dan kini dilihat kembali mendekati Umno menunjukkan parti itu lebih mementingkan kuasa berbanding prinsip.

“Jika benar Pas memperjuangkan penyatuan umat, mengapa Bersatu diceraikan dan Umno pula dipilih semula? Yang diutamakan adalah kuasa, bukan prinsip,” katanya.

Beliau turut mendakwa Pas gagal mengemukakan polisi ekonomi yang jelas untuk membangunkan Johor dan mengingatkan rakyat agar tidak membenarkan kegagalan pentadbiran di negeri-negeri SG4 “berjangkit” ke Johor.

Dalam pada itu, beliau merujuk kenyataan bekas Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang menyatakan undi masyarakat Cina penting untuk menghalang Pas menawan Putrajaya.

Menurutnya, pandangan itu menunjukkan kebimbangan terhadap pendekatan politik Pas yang didakwa tidak sesuai dengan landskap masyarakat majmuk Malaysia.

Bagi menyokong hujahnya, Muhammad Faiz turut membandingkan situasi itu dengan pengalaman parti politik di Itali, Five Star Movement, yang mengalami kemerosotan sokongan akibat pertukaran gabungan politik dan krisis dalaman sehingga kerajaan gagal berfungsi dengan baik.

Sehubungan itu, beliau berkata rakyat Johor perlu memberi peluang kepada PH mentadbir negeri berkenaan kerana pembangunan mampan hanya boleh dicapai menerusi kestabilan politik.

“PH telah membuktikan kemampuannya mengekalkan kestabilan politik dan pentadbiran negara.

“Komitmen Kerajaan MADANI kepada Johor juga jelas menerusi peruntukan hampir RM15 bilion bagi projek mega seperti Landasan Berkembar Elektrik Johor Bahru-Gemas, Perkhidmatan Shuttle Selatan dan RTS Link, selain projek Elevated Autonomous Rapid Transit (E-ART) bernilai kira-kira RM10 bilion,” katanya.

Beliau berkata, kestabilan politik merupakan prasyarat utama bagi memastikan pembangunan dan kemakmuran Johor dapat diteruskan pada masa hadapan.

BACA JUGA Tak kira anak siapa, BAKAT MADANI buka 25,000 peluang untuk beliaÂ