Anwar: Projek baharu dilarang sepanjang kempen, projek lama boleh diteruskan

Kerajaan menegaskan larangan mengumumkan projek atau dasar baharu selepas hari penamaan calon masih berkuat kuasa dan terpakai kepada semua pihak, termasuk kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peraturan itu diperuntukkan di bawah Seksyen 24B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan telah disahkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menurutnya, sebaik sahaja penamaan calon berlangsung, tiada pihak dibenarkan menggunakan jentera kerajaan untuk mengumumkan projek baharu atau membuat janji projek kepada pengundi.

“Keputusan kita tetap, iaitu sebaik tarikh penamaan calon diumumkan, kempen boleh diteruskan tetapi tidak boleh ada penggunaan ataupun pengumuman projek baharu atau dasar baharu bagi negeri tersebut,” katanya pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) yang meminta penjelasan sama ada larangan itu masih terpakai menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, Anwar menjelaskan projek yang telah diluluskan sebelum penamaan calon atau terkandung dalam belanjawan sedia ada boleh diteruskan dan diumumkan.

Beliau berkata perkara itu tidak melanggar peraturan pilihan raya kerana ia bukan melibatkan projek baharu.

Mengulas dakwaan Shahidan mengenai pengumuman projek oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada hari penamaan calon PRN Johor, Anwar berkata beliau telah menyemak perkara itu.

“Saya semak, dia umumkan projek yang telah diluluskan. Jadi, kalau ikut prinsip peraturan pilihan raya itu dibolehkan. Tidak boleh projek baharu,” katanya.

Menurut Anwar, beliau sendiri mengambil pendekatan berhati-hati dan mengelakkan pengumuman sedemikian bagi mengelakkan salah faham, walaupun tindakan mengumumkan projek yang telah diluluskan tidak melanggar undang-undang.

Dalam pada itu, Anwar turut menjawab persoalan Shahidan mengenai aspek etika pengumuman projek menjelang pilihan raya.

Katanya, soal etika mempunyai tafsiran yang pelbagai dan tidak semestinya berkait dengan pengumuman projek yang dibuat sebelum hari penamaan calon.

“Yang melanggar etika itu kalau ada sumpah seranah, hina, mencerca dan menipu. Itu etika yang lebih besar dan perlu kita elakkan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua menteri dan timbalan menteri supaya mematuhi peraturan pilihan raya bagi mengelakkan sebarang kekeliruan atau salah tafsir sepanjang tempoh berkempen.

Anwar berkata kerajaan akan terus memastikan semua pihak mematuhi undang-undang pilihan raya demi menjamin proses demokrasi yang bersih dan adil.

BACA JUGA PMX perlu turun? Sebelum menjerit di medsos, lihat dulu fakta di depan mata