Maszlee mahu bawa anak Johor pulang cari rezeki di negeri sendiri

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik tampil dengan mesej yang menyentuh isu peluang pekerjaan kepada rakyat Johor.

Bekas Menteri Pendidikan itu menyuarakan hasrat untuk membawa pulang anak Johor yang kini bekerja di luar negeri, khususnya di negara jiran, agar kembali membina masa depan di tanah air sendiri.

Menerusi satu hantaran ringkas di Facebook, beliau menulis: “Anak Johor pulang kerja ke Johor!”

Dr Maszlee turut berkongsi imej kempen disertai kapsyen yang menegaskan aspirasinya untuk mengubah landskap ekonomi negeri dengan membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat tempatan.

“Saya mahu bawa anak Johor pulang dan bekerja di Johor,” menurut kapsyen tertera.

Dalam kempen Pilihan Raya Negeri Johor (PRN) bulan depan, Dr Maszlee memberi gambaran bahawa agenda ekonomi dan peluang pekerjaan tempatan bakal menjadi antara fokus utama beliau jika diberi mandat oleh pengundi Puteri Wangsa.

Dr Maszlee yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR merangkap Ketua Cabang Simpang Renggam berdepan saingan lima penjuru bagi merebut kerusi DUN Puteri Wangsa dalam PRN kali ini.

Beliau dicabar Nicholas Paul Vincent mewakili Bersama, Wang Wee Siong (Bebas), Rashifa Aljunied (Muda) dan Teow Chia Ling dari BN-MCA.

Hari mengundi PRN Johor akan berlangsung 11 Julai depan manakala pengundian awal pada 7 Julai.

BACA JUGA Pengundi Cina tidak minat keluar mengundi PRN Johor, kata pengkaji dari Ilham Centre