Peniaga pasar mengadu terhimpit, calon PH Maharani dedah masalah sistem yang ramai tak sedar

Calon Pakatan Harapan (PH)bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani, Muhammad Taqiuddin Cheman mendedahkan pelbagai isu yang dihadapi peniaga kecil ketika turun padang bertemu masyarakat setempat.

Ia termasuk masalah polisi premis perniagaan yang dilihat tidak memihak kepada golongan yang benar-benar layak.

Ketua Pemuda AMANAH Johor itu berkata, antara isu utama yang dibangkitkan peniaga ialah peluang memulakan perniagaan yang sering terbantut.

Jelasnya, keadaan itu berlaku apabila ruang atau premis yang sepatutnya diberikan kepada usahawan layak gagal disalurkan secara adil akibat dasar pengurusan tertentu di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT).

Katanya, kelemahan itu perlu diperbaiki kerana akses kepada ruang niaga yang sesuai merupakan antara faktor penting untuk membantu rakyat membina kehidupan lebih stabil melalui perniagaan sendiri.

“Soal peluang untuk mulakan perniagaan bermula dengan ruang atau premis yang sesuai untuk berniaga.

“Namun, kadang-kadang masalah yang timbul adalah ruang atau premis yang sepatutnya diberikan kepada mereka yang layak dinafikan dek kerana polisi yang tidak memihak kepada mereka.

“Ini pemerhatian dan aduan yang saya terima tentang kedai atau premis di bawah PBT.
Kita boleh ubah kelemahan ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau sambil mengajak pengundi memilih PH.

Realiti sebenar

Dalam tinjauan di DUN Maharani juga, Taqiuddin turut berkongsi situasi yang memberi gambaran jelas realiti sebenar dihadapi peniaga kecil di kawasan Muar.

Antaranya, melibatkan seorang peniaga muda dikenali sebagai Khan yang sudah hampir 20 tahun berniaga tauhu segar buatan sendiri di Pasar Awam Muar.

Menurut Taqiuddin, ketahanan Khan dalam meneruskan perniagaan meskipun berdepan pelbagai cabaran membuktikan anak muda tempatan mempunyai semangat luar biasa sekiranya diberikan peluang dan sokongan sewajarnya.

“Anak muda yang kental berhadapan dengan apa jua cabaran tapi boleh terus kekal. Sebab ada produk sendiri yang terus dicari. Tauhu segar homemade.

“Jom sokong Khan di Pasar Awam Muar, Gerai nombor 4. Tahniah Khan!” ujarnya.

Taqiuddin turut berkongsikan kisah seorang peniaga veteran dikenali sebagai Pak Cik Jamil yang sudah lama berniaga di pasar tetapi berdepan masalah persaingan tidak seimbang.

Menurut aduan diterima, peniaga berkenaan membayar sewa premis rasmi di pasar, namun jualan hariannya terjejas apabila terdapat peniaga lain menjual barangan sama di kawasan berhampiran tanpa perlu bergantung kepada pelanggan yang masuk ke dalam pasar.

Bagi Taqiuddin, isu yang kelihatan kecil itu sebenarnya memberi impak besar kepada pendapatan harian peniaga yang bergantung sepenuhnya kepada operasi premis dalam pasar.

Sehubungan itu, beliau menegaskan setiap aduan diterima akan diambil perhatian dan dijadikan sebahagian daripada agenda tindakan sekiranya diberi mandat rakyat.

“Kita boleh ubah kelemahan ini. Johor ke depan, undi Harapan. Ingat Maharani, ingat Taqi,” kata beliau lagi.

BACA JUGA Ramai tak sedar Johor rupanya terima RM16 bilion dari Putrajaya, lebih tinggi dari cukai dikutip