Puad minta tangguh undi BN dalam PRN ini

Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menggesa pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit supaya menangguhkan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini susulan dua isu tempatan yang didakwanya masih gagal diselesaikan.

Dalam kenyataan di media sosial hari ini, Puad membidas kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Onn Hafiz Ghazi yang didakwa menyifatkan isu tangki air Rengit dan benteng pecah sebagai “isu peribadi”.

Menurut Puad, kedua-dua perkara itu bukan isu peribadi, sebaliknya membabitkan kepentingan dan kebajikan rakyat di kawasan berkenaan.

“Saya menggesa rakyat Rengit tangguh beri undi kepada BN kerana dua isu besar iaitu tangki air Rengit dan benteng pecah yang belum selesai. MB kata itu isu peribadi. Bukankah dua isu itu adalah isu rakyat?” katanya.

Puad berkata, rakyat di Rengit masih berdepan kesan daripada masalah berkenaan dan menyifatkan kemarahan penduduk terhadapnya ketika beliau menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebelum ini juga berpunca daripada isu sama.

Beliau turut mempersoalkan tindakan Onn Hafiz yang turun berkempen di Rengit semalam tetapi didakwa tidak melawat lokasi benteng pecah dan tapak pembinaan tangki air yang terletak hanya beberapa minit dari lokasi program.

“Kenapa tidak singgah sebentar? Adakah kempen lebih penting daripada melihat isu kesusahan rakyat?” soalnya.

Puad berkata, sekiranya kedua-dua masalah tersebut berjaya diselesaikan, pengundi boleh mempertimbangkan semula untuk menyokong BN pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Dalam masa sama, beliau turut membalas kenyataan Onn Hafiz yang memuji bekas ADUN Rengit, Ayub Jamil.

Menurutnya, ketika beliau bertanding sebelum ini, Ayub didakwa tidak memberikan bantuan dan sukar dihubungi.

Puad juga mendakwa terdapat beberapa perkara lain yang dimaklumkan kepadanya oleh Menteri Besar Johor dalam satu pertemuan pada 21 Jun lalu, namun enggan mendedahkannya buat masa ini.

“Pesanan saya kepada MB ialah jangan banyak berbohong. Banyak lagi benda lain dia beritahu saya di Saujana pada 21 Jun 2026. Saya simpan dulu sebagai rahsia,” katanya.

Setakat ini, belum ada reaksi balas daripada Onn Hafiz berhubung kenyataan terbaharu Puad itu.

BACA JUGA Mahu semua parti Melayu melutut, Pas sudah pecahkan Bersatu, Umno pula jadi sasaran