Mahkamah beri amaran: Tiada lagi tangguh kes Rosmah selepas ini
Rayuan akhir Datin Seri Rosmah Mansor untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara dalam kes rasuah projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion sekali lagi tertangguh apabila Mahkamah Rayuan menetapkan pendengaran baharu selama 16 hari bermula September ini.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Datuk Azhahari Kamal Ramli membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan prosiding yang sepatutnya bermula pada Rabu.
Mahkamah menetapkan rayuan itu akan didengar pada 1 hingga 4 September, 8 hingga 11 September serta 21 hingga 30 September.
“Mahkamah mengambil kira surat bertarikh Oktober 2024 yang membenarkan penangguhan rayuan utama sehingga semua proses perundangan, termasuk permohonan semakan, diselesaikan sepenuhnya,” kata Azhahari.
Bagaimanapun, beliau menegaskan tiada lagi ruang untuk sebarang penangguhan selepas ini memandangkan kes tersebut telah berlarutan sejak 2022.
“Mahkamah mengingatkan, rayuan itu mesti bermula pada 1 September dan prosiding akan diteruskan mengikut jadual tanpa sebarang penangguhan di tengah-tengah perbicaraan,” katanya.
Panel itu turut dianggotai Hakim Datuk Choo Kah Sing dan Hakim K Muniandy.
Memetik laporan Sinar Harian, Mahkamah turut mengambil kira isu peribadi yang dihadapi peguam Rosmah, Datuk Akberdin Abdul Kader, selain permohonan yang dikemukakan peguam utama beliau, Datuk Jagjit Singh.
Bagi memastikan rayuan dapat diselesaikan mengikut jadual, prosiding juga akan diteruskan pada hari Jumaat.
Pihak pendakwaan selaku responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya K Mangai.
Sebelum ini, Mahkamah Rayuan menetapkan rayuan tersebut didengar selama tiga hari bermula 1 hingga 3 Julai.
Kes rasuah projek solar RM1.25 bilion
Rosmah, 75, berdepan satu pertuduhan meminta suapan sebanyak RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, melalui bekas pembantunya Datuk Rizal Mansor.
Suapan itu didakwa sebagai balasan kerana membantu syarikat berkenaan memperoleh Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Mac 2016 hingga 7 September 2017 di Seri Perdana, Jalan Langgak Duta dan sebuah pusat beli-belah di Jalan Putra, Kuala Lumpur.
Semua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Pada 1 September 2022, Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan mensabitkan Rosmah atas ketiga-tiga pertuduhan dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan serta denda sebanyak RM970 juta.
Mahkamah turut memerintahkan beliau menjalani hukuman penjara tambahan 10 tahun sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Bagaimanapun, pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan sementara menunggu proses rayuan selesai.
Sebelum ini, Rosmah turut mengemukakan permohonan untuk menggugurkan Mohamed Zaini daripada mendengar kes tersebut dengan alasan draf penghakiman telah disediakan pihak ketiga dan dibocorkan sebelum keputusan rasmi diumumkan.
Permohonan itu bagaimanapun berakhir di Mahkamah Persekutuan pada 3 Mac lalu apabila rayuan akhir Rosmah ditolak selepas mahkamah memutuskan tiada sebarang kekhilafan yang mewajarkan campur tangan kehakiman.
BACA JUGA Penerima BUDI MADANI nikmati subsidi sehingga 300 liter sebulanÂ