Kerajaan sambung kontrak MotoGP lima tahun lagi, jana ekonomi RM694 juta

Malaysia akan terus menjadi tuan rumah perlumbaan MotoGP Malaysia sekurang-kurangnya sehingga tahun 2031 selepas kerajaan meluluskan pembaharuan kontrak penganjuran acara sukan permotoran berprestij itu untuk tempoh lima tahun lagi bermula 2027.

Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, yang menyifatkan keputusan tersebut sebagai langkah strategik bagi memastikan Malaysia terus kekal sebagai antara hab utama sukan permotoran dunia.

Katanya, pembaharuan kontrak itu telah mendapat kelulusan Jemaah Menteri dan bukan sekadar melibatkan penganjuran acara sukan antarabangsa, malah memberi impak besar kepada ekonomi, pembangunan industri serta pembinaan bakat tempatan.

Menurut Kementerian Belia dan Sukan (KBS), kajian impak ekonomi menunjukkan penganjuran MotoGP Malaysia pada tahun 2024 menjana kira-kira RM694 juta impak ekonomi keseluruhan.

Selain itu, acara tersebut turut mewujudkan lebih 4,400 peluang pekerjaan dan menghasilkan pulangan pelaburan sekitar 6.3 kali ganda kepada negara.

“MotoGP Malaysia merupakan aset dan pelaburan strategik negara yang memberi manfaat kepada sektor pelancongan, hospitaliti, pengangkutan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” kata Taufiq dalam kenyataan hari ini.

KBS berkata, MotoGP Malaysia juga memainkan peranan penting dalam memperkukuh pembangunan bakat dan ekosistem sukan permotoran negara.

Menerusi program Malaysian Motorsport Development (MDEV), laluan pembangunan bakat yang lebih tersusun telah melahirkan pelumba muda yang semakin menyerlah di pentas antarabangsa seperti Hakim Danish Mohd Haizal dan Qabil Irfan Azlan.

Perkembangan itu dilihat sebagai petanda positif bahawa Malaysia bukan sahaja menjadi penganjur perlumbaan bertaraf dunia, malah berpotensi melahirkan lebih ramai pelumba elit pada masa depan.

Dalam masa sama, Taufiq berkata, Pelan Induk Pembangunan SIC 2035 dijangka membawa impak ekonomi lebih besar apabila berpotensi menarik pelaburan sehingga RM1 bilion.

Pelan itu juga diunjurkan mewujudkan lebih 5,000 peluang pekerjaan berimpak tinggi pada masa hadapan.

“Kementerian Belia dan Sukan kekal komited untuk memperkukuh ekosistem sukan permotoran negara dan berharap pembaharuan kontrak ini akan memastikan Malaysia terus menjadi destinasi utama sukan permotoran dunia.

“Pada masa sama, ia membuka lebih banyak peluang ekonomi, memperkasa pembangunan bakat serta melahirkan lebih ramai jaguh sukan permotoran negara,” katanya.

MotoGP Malaysia mula dianjurkan pada tahun 1991 sebelum berpindah ke PETRONAS Sepang International Circuit (SIC) pada tahun 1999, dan kini diiktiraf sebagai antara aset sukan negara yang paling bernilai.

BACA JUGA Bersatu Sri Medan isytihar sokong PH? Video tular gegarkan kubu PN di Parit Sulong