Laut China Selatan ada isu, tapi bukan medan perang – Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak pandangan bahawa Laut China Selatan perlu dilihat sebagai medan yang berpotensi mencetuskan peperangan.

Sebaliknya, beliau menegaskan pendekatan dialog dan diplomasi adalah jalan terbaik untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau.

Menurutnya, meskipun terdapat beberapa isu yang masih perlu ditangani, pengalaman Malaysia dalam mengurus hubungan dengan China membuktikan kedua-dua negara mampu mengekalkan hubungan baik tanpa sebarang tindakan agresif yang membawa kepada ketegangan besar.

“Saya secara peribadi tidak berkongsi kebimbangan berlebihan mengenai potensi ancaman di Laut China Selatan.

“Ya, memang terdapat beberapa isu, namun setakat ini pendirian dan pengalaman Malaysia adalah melalui pertukaran pandangan yang bermakna dengan China,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab pada Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik (APR) Ke-39 di Kuala Lumpur, hari ini.

Anwar berkata, China sebelum ini telah menyatakan komitmen untuk menyokong Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) serta pemuktamadan Kod Tatalaku (Code of Conduct) bagi Laut China Selatan.

Menurutnya, komitmen tersebut sepatutnya dijadikan asas untuk memperkukuh rundingan dan kerjasama, bukannya mengapi-apikan potensi konflik di rantau berkenaan.

“Adakah terdapat isu? Ya. Adakah terdapat potensi konflik? Ya. Namun, tidak pernah berlaku tindakan agresif besar yang mencetuskan ketegangan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, sebagai sebuah negara maritim, Malaysia turut mempunyai beberapa pertikaian sempadan dengan negara jiran termasuk Thailand, Singapura, Brunei dan Filipina.

Namun, katanya, semua isu tersebut berjaya diurus menerusi saluran rundingan dan diplomasi tanpa menjejaskan hubungan dua hala.

“Begitu juga dengan China. Memang ada isu, saya sendiri membangkitkannya kepada Presiden Xi Jinping dan Perdana Menteri Li Qiang, tetapi hubungan kami kekal cemerlang,” katanya.

Anwar turut berpandangan bahawa terdapat kecenderungan sesetengah kuasa luar untuk terus memberi tumpuan kepada kemungkinan tercetusnya peperangan di Laut China Selatan.

Sebaliknya, katanya, negara-negara di rantau Asia Tenggara lebih mengutamakan keamanan, kestabilan dan penyelesaian pertikaian secara diplomasi.

Sehubungan itu, beliau menegaskan Malaysia akan terus mengekalkan dasar luar yang bebas dan berkecuali, selain mengutamakan penglibatan konstruktif dengan semua pihak termasuk China.

“Kepentingan utama kita ialah memastikan keamanan, kestabilan dan kemakmuran rantau ini terus terpelihara,” katanya.

BACA JUGA Mohd Khuzzan fokus mahu tangani isu banjir, internet dan ekonomi rakyat Semerah