Calon PH Bukit Naning tekad pulang sebahagian elaun YB untuk bantu rakyat

Calon HARAPAN bagi DUN N.14 Bukit Naning, Md Ysahrudin, berikrar memulangkan sebahagian elaun gaji wakil rakyat kepada rakyat sekiranya diberi mandat pada pilihan raya negeri ini.

Beliau berkata, komitmen itu termasuk dalam Tekad Kelima yang digariskannya di bawah agenda “Kebajikan Ihsan”, sebagai sebahagian daripada lima tekad utama untuk membina Bukit Naning yang lebih makmur, progresif dan sejahtera.

Menurut Md Ysahrudin, amanah yang diberikan rakyat kepada seorang wakil rakyat perlu dikembalikan semula kepada rakyat melalui program kebajikan yang memberi manfaat kepada golongan memerlukan.

“Saya percaya amanah yang diberikan oleh rakyat perlu dikembalikan kepada rakyat.

“Oleh itu, saya komited untuk memulangkan sebahagian elaun gaji wakil rakyat kepada rakyat melalui pelbagai program kebajikan yang memberi manfaat kepada golongan memerlukan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Md Ysahrudin

Md Ysahrudin, 47, berkata, program kebajikan sedia ada seperti agihan bakul makanan, bantuan kecemasan dan inisiatif prihatin juga akan diteruskan bagi membantu meringankan beban keluarga memerlukan di Bukit Naning.

Beliau yang pernah menjadi ADUN Bukit Naning pada 2018 itu berkata, lima tekad yang dibawanya bukan sekadar janji pilihan raya, sebaliknya komitmen yang berpaksikan kepada keperluan sebenar rakyat di kawasan berkenaan.

Selain kebajikan, beliau turut menggariskan empat lagi tekad iaitu memperkasa pendidikan, memperkukuh payung kesihatan, melestarikan sektor pertanian dan menerajui pembangunan infrastruktur.

Tuisyen percuma

Bagi aspek pendidikan, beliau berhasrat menyediakan kelas tuisyen percuma kepada pelajar di DUN Bukit Naning, selain memperjuangkan lebih banyak peluang latihan TVET dan kemahiran untuk anak muda.

Ahli Lembaga Felcra itu turut mengesyorkan kepada kerajaan negeri agar insentif pendidikan diberikan kepada pelajar yang menerima tawaran ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta supaya faktor kewangan tidak menjadi penghalang kepada masa depan mereka.

Dalam sektor kesihatan pula, Md Ysahrudin berkata beliau akan menyediakan perkhidmatan ambulans di bawah Pusat Khidmat DUN bagi memudahkan penduduk mendapatkan bantuan ketika kecemasan.

Katanya, program wakaf peralatan kesihatan seperti kerusi roda, katil pesakit dan peralatan asas untuk kegunaan klinik serta surau turut akan dilaksanakan.

Bagi sektor pertanian, beliau berkata Bukit Naning mempunyai kekuatan besar sebagai kawasan pertanian yang menjadi sumber rezeki ramai penduduk.

Sehubungan itu, beliau akan memperjuangkan subsidi baja dan benih nanas, memperluas latihan pertanian moden, membantu meneroka pasaran baharu produk pertanian tempatan serta memperkukuh langkah kawalan haiwan liar dan perosak.

Dalam aspek pembangunan pula, Md Ysahrudin memberi tumpuan kepada isu kemudahan asas termasuk membaiki jalan raya dan jambatan rosak, menambah lampu jalan di kawasan kampung serta meningkatkan liputan internet di kawasan pedalaman.

Beliau berkata, pembangunan Bukit Naning tidak boleh hanya tertumpu kepada infrastruktur semata-mata, sebaliknya perlu membina kehidupan rakyat yang lebih baik melalui pendidikan, kesihatan, ekonomi, pertanian dan kebajikan.

“Saya yakin, dengan kerjasama rakyat serta sokongan Kerajaan MADANI, Bukit Naning mampu muncul sebagai sebuah kawasan yang lebih makmur, progresif dan berdaya saing, tanpa meninggalkan nilai kebersamaan dan keprihatinan terhadap masyarakat,” katanya.

Md Ysahrudin turut memohon sokongan dan kepercayaan seluruh warga Bukit Naning untuk bersama-sama merealisasikan hasrat menjadikan kawasan itu sebagai “Bukit Naning Makmur”.

“Bukit Naning Ke Depan. Undi HARAPAN,” kata Md Ysahrudin lagi.

BACA JUGA Guan Eng, Tony Pua jawab isu LRT3: Projek tak pernah dihenti, kos asal zaman Najib cecah RM31.65 bilion