Mudahnya cara pindah BUDI Diesel kepada ahli keluarga, tak perlu tukar hak milik kenderaan pun

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Fuziah Salleh berkata, pemilik kenderaan diesel tidak perlu menukar hak milik kenderaan bagi membolehkan subsidi bahan api itu dinikmati pengguna sebenar.

Beliau berkata, pemilik hanya perlu memindahkan kelayakan BUDI Diesel kepada pengguna sebenar menerusi portal BUDI MADANI, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

Menurut Senator berkenaan, masih ramai yang belum mengetahui kaedah pemindahan kelayakan BUDI Diesel kepada ahli keluarga.

“Sebagai contoh, jika kenderaan diesel masih didaftarkan atas nama seorang ibu tetapi digunakan setiap hari oleh seorang anak, ibu tersebut boleh memindahkan kelayakan BUDI Diesel kepada anaknya.

“Pindahan ini hanya dibenarkan sekali dan kepada seorang penerima sahaja,” jelasnya menerusi hantaran di Facebook.

Fuziah memaklumkan bagi mereka yang ingin menukar nama pemilik kenderaan pula, kerajaan turut memberikan pengecualian fi Tukar Hak Milik (THM) selama tiga bulan.

“Ia bagi memudahkan urusan mengemas kini rekod pemilikan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Langkah ini diperkenalkan bagi memastikan subsidi diesel benar-benar dinikmati oleh pengguna sebenar, sekali gus mengurangkan ketirisan dan penyalahgunaan,” kata beliau.

Dalam masa sama, bekas Ahli Parlimen Kuantan itu turut mengingatkan kelayakan asas BUDI Diesel ialah 200 liter sebulan.

“Bagi pemilik pikap atau jip persendirian yang layak, mereka boleh memohon tambahan 100 liter, menjadikan jumlah keseluruhan 300 liter sebulan,” kata Setiausaha Agung PKR itu lagi.

BACA JUGA Onn Hafiz takut ke ‘berdialog’ dengan Dr Maszlee, tanya Fahmi