Waspada kemunafikan Barat, henti berkiblatkan polisi mereka
Oleh DATUK NIK MOHD HASYUDEEN YUSOFF
Semasa berbincang dengan IPSAS semalam, saya terangkan mengapa saya berpindah dari telefon Amerika Syarikat (AS) ke telefon China. “Saya dah tak tahan dengan kemunafikan Barat”, antara hujah saya.
Malah, dari segi ekonomi pun mereka sebenarnya sudah jatuh perlahan-lahan. Eropah sudah mandul dan saya yakin tidak lama lagi banyak negara di sana akan koyak.
Malangnya, Barat masih menjadi kiblat kita dari segi polisi.
Tidak cukup agensi-agensi supranasional seperti Bank Dunia dan IMF yang ditubuhkan selepas Perang Dunia Kedua untuk menjadikan Amerika Abang Long dunia, kita kutip pula polisi-polisi seperti dari Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) yang dipengaruhi oleh Eropah.
Ini bukannya satu kepelikan kerana ramai pembuat pembuat dasar bersekolah di Barat atau disekolahkan oleh agensi-agensi supranasional berkenaan.
Jadi, Barat boleh menyokong negara-negara pengganas seperti Israel tanpa kita sangsi langsung dengan apa yang ada di sebalik polisi-polisi yang menjadi rujukan kita.
Sudah sampai masanya kita kena merenung makna penjajahan dan kemerdekaan pada era ini. Mungkin kita boleh panggil Kemerdekaan 2.0.
Ini adalah kerana teknologi sudah menjadi alat penjajahan. Ekonomi sudah menjadi alat penjajahan.
Apa yang digelar “peraturan global” sudah menjadi alat penjajahan. Ini memerlukan kita mengira-gira bagaimana hendak kekal merdeka apabila kita ini sekadar menjadi negara pengguna.
Apa benda yang kita cipta dan kawal selain daripada bangga dengan netizen yang hebat buat komen sahaja?
Pembuat dasar dalam Kemerdekaan 2.0 bukan sahaja perlu bijaksana. Mereka juga kena celik dari segi geopolitik dan lain-lain ilmu dan kemahiran yang perlu.
Setakat berjaya masuk golongan “yang dielitkan”, bukan elit betul-betul pun, tidak mencukupi.
Semua ini penting untuk masa hadapan cucu-cucu saya serta anak-anak mereka.
Cabarannya ialah atok nenek mereka bukannya peduli pun. Asalkan harga minyak murah, cukup.
Keterangan gambar: Jim Banks ialah ahli politik Parti Republikan Amerika Syarikat (AS) dari Indiana. Veteran tentera laut AS yang pernah berkhidmat di Afghanistan berkenaan kini berkhidmat sebagai Senator AS.
*DATUK NIK MOHD HASYUDEEN YUSOFF merupakan Ahli Lembaga Pengarah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
BACA JUGA Mudahnya cara pindah BUDI Diesel kepada ahli keluarga, tak perlu tukar hak milik kenderaan pun