Pelaksanaan JS-SEZ kekal tersusun, pelabur terus yakin

Kementerian Ekonomi menegaskan bahawa pelaksanaan Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ) merupakan inisiatif ekonomi rentas sempadan yang melibatkan Malaysia dan Singapura. 

Maka, pelancarannya perlu disusun secara strategik bagi memastikan keselarasan dasar, kesiapsiagaan pelaksanaan dan keyakinan pelabur dapat diperkukuh.

Keputusan Perdana Menteri untuk menyelaras pelancaran Pelan Induk JS-SEZ di peringkat Leaders’ Retreat oleh pemimpin tertinggi kedua-dua negara pada suku keempat tahun ini menunjukkan strategi Kerajaan Malaysia memastikan komitmen  dua hala di peringkat tertinggi, sekali gus memberi impak publisiti dan keyakinan berskala global.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kemajuan JS-SEZ perlu dinilai berdasarkan hasil serta impak ekonomi yang nyata, dan bukannya bersandarkan kepada tarikh pelancaran dokumen semata-mata. 

Data pelaburan semasa membuktikan keyakinan pelabur domestik dan antarabangsa terhadap pasaran Johor kekal utuh serta konsisten.

Kementerian Ekonomi akan memastikan kerjasama antara Kerajaan Negeri Johor dan agensi pelaksana terus kukuh supaya pelaksanaan JS-SEZ kekal tersusun dan inisiatif ini menjadi model kerjasama ekonomi yang berdaya saing, terangkum dan mampan demi membuka peluang pelaburan sebenar, pendapatan bernilai tinggi dan manfaat kepada rakyat.

Mengenai Prestasi Pelaburan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ):

Untuk rekod, JS-SEZ mencatatkan sejumlah RM76.98 bilion pelaburan diluluskan. Sebanyak 57% daripada jumlah kumulatif pelaburan tersebut kini telah pun memasuki peringkat pelaksanaan di lapangan.

Bagi Suku Pertama 2026 (Q1 2026), sejumlah RM5.49 bilion pelaburan baharu telah diluluskan bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Bagi prospek Pelaburan Semasa, Kementerian Ekonomi telah mengenal pasti potensi pelaburan baharu bernilai RM74.12 bilion yang kini berada dalam pelbagai fasa rundingan dan penilaian.

BACA JUGA Tiga media kini sedia jadi platform debat, tapi Onn Hafiz masih enggan sahut cabaran