Koperasi kini ‘gergasi’ ekonomi? Perolehan cecah RM82 bilion

Gerakan koperasi negara terus membuktikan potensinya sebagai antara pemacu ekonomi utama apabila merekodkan lonjakan perolehan hampir 20 peratus kepada hampir RM82 bilion pada tahun 2025 berbanding RM68 bilion pada tahun sebelumnya.

Pencapaian itu diumumkan sempena Majlis Perasmian Hari Koperasi Negara 2026 Peringkat Kebangsaan di PICCA @ Butterworth Arena.

Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong, peningkatan itu mencerminkan keberkesanan usaha kerajaan memperkukuh kapasiti koperasi menerusi pendigitalan, tadbir urus yang lebih baik serta peluasan aktiviti perniagaan.

Beliau berkata, pertumbuhan tersebut turut disokong oleh peningkatan skala koperasi di seluruh negara apabila 138 koperasi mikro berjaya dinaik taraf kepada koperasi kecil, 33 koperasi kecil berkembang menjadi koperasi besar, manakala 16 koperasi sederhana melonjak ke kategori koperasi kluster besar.

Dalam perkembangan sama, Steven turut mengumumkan dua pembaharuan utama sektor Ar-Rahnu koperasi yang akan berkuat kuasa mulai September depan bagi menjadikan perkhidmatan pajak gadai Islam itu lebih telus, kompetitif dan mesra pengguna.

Pembaharuan pertama menyaksikan fi dan caj sebanyak 2.5 peratus ke atas nilai marhun dimansuhkan.

Pada masa sama, kadar keuntungan Ar-Rahnu akan diselaraskan kepada sehingga satu peratus sebulan bagi anggota koperasi dan sehingga dua peratus sebulan bagi pelanggan bukan anggota.

Menurut beliau, langkah itu mencerminkan prinsip koperasi yang sentiasa mengutamakan kebajikan anggotanya.

Selain itu, koperasi yang menawarkan perkhidmatan Ar-Rahnu juga dibenarkan melaksanakan jualan secara tender bagi barangan pajakan sebagai alternatif kepada kaedah lelongan awam dan e-lelong yang digunakan ketika ini.

Katanya, pendekatan baharu itu dijangka meningkatkan ketelusan, mengurangkan kos pelaksanaan serta mewujudkan proses yang lebih fleksibel.

Prestasi sektor Ar-Rahnu koperasi turut menunjukkan pertumbuhan luar biasa apabila mencatatkan perolehan RM17 bilion pada 2025, bersamaan 21 peratus daripada keseluruhan perolehan sektor koperasi.

Angka itu meningkat hampir 993 peratus berbanding RM1.6 bilion yang direkodkan pada tahun sebelumnya.

Sehingga 31 Disember 2025, negara mempunyai 16,468 koperasi berdaftar dengan hampir 7.3 juta anggota, sekali gus bermakna seorang daripada setiap empat rakyat Malaysia merupakan anggota koperasi.

Gerakan koperasi kini memiliki modal syer dan yuran sebanyak RM18.6 bilion, selain aset bernilai RM186.7 bilion.

Bagi memperkukuh lagi sektor itu, Kerajaan MADANI memperuntukkan RM254 juta kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bagi tahun 2026.

Steven berkata, ia merupakan peruntukan terbesar dalam sejarah gerakan koperasi sejak penubuhannya pada 1922.

Peruntukan itu akan disalurkan melalui 28 program, termasuk tujuh inisiatif baharu yang memberi tumpuan kepada pendigitalan, penggunaan teknologi, pematuhan elemen kelestarian dan teknologi hijau bagi meningkatkan daya saing koperasi.

Daripada jumlah itu, RM226 juta diperuntukkan menerusi Tabung Modal Pusingan SKM (TMP-SKM), dengan 18 koperasi telah menerima kelulusan pembiayaan berjumlah hampir RM53 juta bagi mengembangkan kapasiti serta aktiviti perniagaan masing-masing.

Dalam pada itu, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi sedang menggubal Akta Koperasi baharu bagi menggantikan Akta Koperasi 1993.

Akta baharu itu bertujuan memudahkan urusan perniagaan koperasi, termasuk memberi lebih fleksibiliti kepada koperasi yang memenuhi syarat untuk membuat pelaburan tanpa perlu mendapatkan kelulusan awal daripada SKM, sambil mengekalkan mekanisme kawal selia bagi melindungi kepentingan anggota.

Steven berkata kementerian menyasarkan perolehan sektor koperasi melepasi RM100 bilion menjelang 2030, sejajar dengan aspirasi Hebatkan Perniagaan Malaysia.

BACA JUGA Bila BN sangat berharap menang besar untuk membebaskan Najib…