Rozy bawa tiga tekad ke Buloh Kasap: Saya bukan datang musim pilihan raya sahaja

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi N.01 Buloh Kasap, Rozy Razit tampil dengan tiga komitmen utama yang disifatkan sebagai asas perjuangannya untuk membawa perubahan kepada kawasan itu sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Tiga tekad yang diketengahkan ialah menjadi wakil rakyat yang sentiasa mendengar dan menyelesaikan masalah penduduk, memperkasa ekonomi rakyat serta membina masa depan lebih baik untuk anak muda, wanita dan institusi keluarga.

Menurut Rozy, Buloh Kasap memerlukan seorang wakil rakyat yang sentiasa berada di lapangan dan mudah didekati, bukannya hanya muncul ketika musim pilihan raya.

“Saya tidak menjanjikan sesuatu yang luar biasa. Tetapi saya berjanji untuk sentiasa hadir bersama rakyat, mendengar dengan hati yang terbuka dan bekerja bersungguh-sungguh sehingga setiap masalah diberi perhatian,” katanya.

Beliau berkata, jika dipilih, keutamaan akan diberikan kepada usaha membantu usahawan, peniaga kecil dan petani, di samping memperluaskan peluang latihan kemahiran serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan muda.

Rozy turut berikrar memastikan setiap inisiatif di bawah Kerajaan MADANI dapat disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak tanpa berlaku keciciran.

“Setiap bantuan kerajaan mesti sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan. Rakyat tidak seharusnya tercicir daripada menikmati manfaat dasar yang diwujudkan untuk mereka,” katanya.

Selain aspek ekonomi, beliau berkata kebajikan warga emas, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan keluarga yang memerlukan akan terus diberi perhatian menerusi pendekatan turun padang secara konsisten.

Mengulas sambutan sepanjang tempoh berkempen, Rozy menyifatkan penerimaan penduduk Buloh Kasap amat menggalakkan dan menunjukkan rakyat mahukan kepimpinan yang bekerja, bukannya sekadar berjanji.

“Saya melihat harapan yang besar dalam kalangan rakyat Buloh Kasap. Mereka mahukan wakil rakyat yang sentiasa bersama mereka, bukan hanya ketika berkempen tetapi sepanjang tempoh berkhidmat,” katanya.

Beliau berharap pengundi Buloh Kasap memberi peluang kepada PH meneruskan agenda pembangunan yang selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI demi meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Buloh Kasap perlukan wakil rakyat yang hadir, mendengar dan bekerja. Insya-Allah, itulah komitmen yang saya bawa. Saya memohon sokongan dan kepercayaan rakyat Buloh Kasap agar kita dapat melangkah ke hadapan bersama, membina masa depan yang lebih baik untuk semua,” katanya.

BACA JUGA Tiga media kini sedia jadi platform debat, tapi Onn Hafiz masih enggan sahut cabaran