Siapa kata Kerajaan MADANI abaikan sekolah Tamil? Ini buktinya di Segamat
Usaha memindahkan SJKT Ladang Sungai Muar ke tapak baharu terus menunjukkan perkembangan positif apabila Kementerian Pendidikan memberi komitmen untuk merealisasikan projek berkenaan yang telah diperjuangkan sejak beberapa tahun lalu.
Ahli Parlimen Segamat, Yuneswaran Ramaraj berkata, lawatan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ke kawasan itu membuktikan kerajaan memandang serius keperluan menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat dan kondusif kepada murid sekolah berkenaan.
Menurutnya, sejak dipilih sebagai Ahli Parlimen Segamat pada 2022, beliau konsisten membawa isu perpindahan SJKT Ladang Sungai Muar berikutan faktor keselamatan, lokasi sekolah yang jauh daripada komuniti setempat serta masalah infrastruktur.
“Kehadiran YB Menteri hari ini membuktikan bahawa perkara ini diberikan perhatian serius dan memperlihatkan pentingnya usaha merealisasikan perpindahan sekolah ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, berdasarkan taklimat yang diterima, proses pemindahan kini berada pada fasa urusan pemilikan tanah yang sedang dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Segamat.
Katanya, perkembangan itu memberi harapan bahawa projek perpindahan yang dinantikan penduduk dan warga sekolah dapat direalisasikan dalam masa terdekat.
Yuneswaran turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan atas komitmen memastikan kebajikan dan pendidikan anak-anak di Segamat terus diberi perhatian.
“Saya merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia atas keprihatinan dalam memastikan anak-anak di Segamat dapat belajar dalam persekitaran yang lebih selamat, kondusif dan selesa,” katanya.
Beliau menegaskan Kerajaan MADANI akan terus mengutamakan pendidikan sebagai antara agenda utama pembangunan negara.
“Kerajaan MADANI akan terus komited mengutamakan pendidikan anak-anak. Bagi pihak saya, isu ini akan terus dipantau dan tindakan susulan akan diteruskan sehingga proses pemindahan SJKT Ladang Sungai Muar berjaya direalisasikan,” katanya.
Lawatan itu turut disertai pegawai kanan Kementerian Pendidikan, termasuk Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Pengarah Pendidikan Negeri Johor dan Pegawai Pendidikan Daerah Segamat.
BACA JUGA Insiden banner calon PH Tiram dirosakkan, respon tuan badan jadi perhatian