Orang lama Umno puji Ahli Parlimen DAP Labis, dakwa bantuan masjid tak pernah putus

Seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai penyokong lama Umno meluahkan penghargaan kepada Ahli Parlimen Labis, Pang Hok Liong, selepas mendakwa bantuan kepada masjid dan surau di kawasan itu diteruskan secara konsisten walaupun wakil rakyat tersebut daripada DAP.

Dalam satu video yang tular di media sosial, Wow Malaysia, lelaki itu berkata bantuan yang disalurkan melibatkan semua masjid dan surau di bawah Parlimen Labis.

Menurutnya, masjid utama di Labis, Tenang dan Chaah masing-masing menerima peruntukan RM10,000, manakala masjid kariah menerima RM5,000 dan surau memperoleh RM3,000.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Ahli Parlimen Labis kerana memberi bantuan kepada semua masjid dan surau di Parlimen Labis.

“Walaupun beliau Ahli Parlimen daripada DAP, beliau masih ingat kepada masyarakat Melayu dan institusi masjid di kawasan ini,” katanya.

Beliau turut mendakwa bantuan berkenaan bukan diberikan sekali sahaja, sebaliknya diteruskan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Dari tahun 2022, 2023, 2024 hingga 2025, bantuan itu tidak pernah putus. Setiap kali ada keperluan dan sambutan tertentu, bantuan tetap disalurkan,” katanya.

Menurutnya, perkara itu membuktikan bantuan kepada rakyat tidak seharusnya dinilai berdasarkan parti politik, sebaliknya melalui khidmat yang diberikan kepada masyarakat.

Video berdurasi singkat itu turut mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial, dengan ramai menyifatkan pengakuan tersebut sebagai sesuatu yang di luar jangkaan memandangkan ia datang daripada seorang yang mengaku sebagai penyokong lama Umno.

Bagaimanapun, dakwaan mengenai jumlah bantuan dan tempoh pemberian tersebut adalah berdasarkan kenyataan individu dalam video berkenaan dan tidak disertakan dokumen rasmi dalam rakaman yang tular.

BACA JUGA Puad yakin Dr Maszlee mampu bawa perubahan di Felda Ulu Tebrau, puji komitmen PMX