Permit bukan lagi milik ‘tauke’, kerajaan mulakan reformasi terbesar industri teksi

Selepas berpuluh-puluh tahun pemandu teksi bergantung kepada syarikat pemegang permit, kerajaan kini memulakan langkah yang disifatkan sebagai reformasi terbesar dalam sejarah industri teksi negara menerusi pelancaran Program Pembaharuan Teksi MADANI Nasional.

Program yang diumumkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook itu bukan sekadar memperkenalkan Proton S70 sebagai model rasmi baharu Teksi MADANI, malah mengubah keseluruhan landskap industri dengan memberikan pemilikan kenderaan dan permit terus kepada pemandu.

Selama ini, ramai pemandu teksi terpaksa membayar sewa permit kepada syarikat pengusaha setiap hari, walaupun tidak dapat bekerja kerana sakit, kenderaan rosak atau mengambil cuti. 

Sistem berkenaan sering dikritik kerana lebih menguntungkan syarikat yang memegang permit, sedangkan pemandu terus menanggung beban kos operasi harian.

Anthony berkata pendekatan baharu kerajaan menamatkan amalan tersebut apabila hak milik kenderaan akan kekal bersama pemandu, sekali gus menghapuskan skim lama yang menyaksikan syarikat menjadi pemilik aset manakala pemandu hanya menyewa untuk mencari rezeki.

Beliau berkata Kementerian Kewangan telah meluluskan dasar baharu itu supaya pemilikan kenderaan di bawah mana-mana pakej pembiayaan diberikan terus kepada pemandu, sekali gus menyelesaikan masalah yang berlarutan sejak sekian lama dalam industri teksi negara.

Menurutnya, kerajaan juga menyedari bahawa antara cabaran utama pemandu teksi ialah kesukaran mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan. Justeru, melalui kerjasama antara DRB-HICOM, EON Avis dan beberapa institusi kewangan, pelbagai pakej pembiayaan yang lebih fleksibel diperkenalkan sama ada melalui skim sewa beli mahupun pajakan yang turut merangkumi kos penyelenggaraan.

Anthony berkata transformasi yang dilaksanakan kerajaan bukan hanya melibatkan penggantian model kenderaan, malah turut membawa perubahan kepada cara industri teksi beroperasi. 

Proton S70 dipilih sebagai model rasmi Teksi MADANI kerana memenuhi keperluan operasi harian dari aspek keselamatan, keselesaan penumpang dan penggunaan bahan api yang cekap, sekali gus membantu mengurangkan kos operasi pemandu.

Beliau turut menjelaskan bahawa industri teksi tidak lagi boleh bergerak secara konvensional jika mahu terus kekal relevan. 

Oleh itu, semua teksi baharu akan dilengkapi meter digital serta diintegrasikan dengan platform e-hailing bagi membolehkan pemandu menerima tempahan melalui aplikasi seperti perkhidmatan moden yang digunakan pengguna hari ini.

Menurut Anthony, kerajaan tidak melihat industri teksi dan platform e-hailing sebagai pesaing, sebaliknya kedua-duanya perlu saling melengkapi dalam menyediakan pilihan pengangkutan awam yang lebih cekap kepada rakyat.

Dalam usaha meningkatkan profesionalisme industri, kerajaan turut memperkenalkan identiti baharu Teksi MADANI tanpa penggunaan ‘teksi topper’ tradisional. Sebaliknya, semua teksi akan menggunakan nombor pendaftaran khas GET (Gaya Ekonomi Terampil), selain diberi keutamaan menjalani pemeriksaan berkala di PUSPAKOM bagi mempercepatkan urusan operasi pemandu.

Anthony berkata matlamat utama kerajaan adalah meningkatkan pendapatan pemandu sambil mengurangkan kos operasi melalui penggunaan kenderaan yang lebih moden dan menjimatkan bahan api. 

Beliau berkata program itu juga dijangka membuka ruang kepada lebih ramai golongan muda menyertai industri teksi kerana Proton S70 boleh digunakan sebagai kenderaan persendirian di luar waktu operasi, di samping menawarkan potensi pendapatan antara RM5,000 hingga RM7,000 sebulan serta akses pembiayaan yang jauh lebih mudah berbanding sebelum ini.

Pembaharuan itu dilihat sebagai perubahan struktur paling besar dalam industri teksi sejak sistem permit diperkenalkan beberapa dekad lalu. Jika sebelum ini pemandu bergantung kepada syarikat pemegang permit untuk terus beroperasi, kini kerajaan mengambil pendekatan meletakkan pemandu sebagai pemilik sebenar aset mereka sendiri.

BACA JUGA SPR kehabisan borang? PKR mohon tangguh tarikh akhir daftar ejen