Dari Laut ke pentas politik: Ayna Soraya bawa pengalaman industri untuk Sungai Balang

Perjalanan Ayna Soraya Badaruddin ke dunia politik tidak bermula di bilik mesyuarat parti atau pentas ceramah, sebaliknya lahir daripada pengalaman bertahun-tahun dalam industri maritim serta minyak dan gas yang membentuk kefahamannya terhadap realiti kehidupan rakyat.

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Balang itu berkata, sepanjang kerjayanya beliau menyaksikan sendiri bagaimana sesuatu dasar kerajaan memberi kesan langsung kepada kehidupan masyarakat, daripada nelayan dan petani hinggalah kepada usahawan kecil serta graduan yang sedang mencari pekerjaan berkualiti.

Katanya, pengalaman tersebut membuka matanya bahawa pembangunan negara tidak boleh bergantung kepada sektor swasta semata-mata, sebaliknya memerlukan kepimpinan politik yang berani merangka dasar yang mampu membawa perubahan kepada rakyat.

“Perjalanan saya ke dunia politik tidak bermula di pejabat parti. Ia bermula di laut, dalam industri, dan bersama komuniti yang saya berkhidmat,”katanya.

Menurut beliau, keputusan menerima pencalonan sebagai wakil PH di Sungai Balang bukanlah kerana mengejar jawatan, sebaliknya kesinambungan kepada hasrat untuk terus menyumbang kepada masyarakat melalui saluran yang lebih besar.

“Saya mahu membawa pengalaman profesional bagi membina ekonomi tempatan yang lebih kukuh, mewujudkan pekerjaan berkualiti dan memastikan pembangunan sampai kepada semua lapisan masyarakat,” katanya dalam satu temu bual sempena kempen PRN Johor.

Ayna berkata, pengalaman dalam sektor maritim dan tenaga memberinya perspektif berbeza mengenai cabaran pembangunan, terutama dalam usaha menarik pelaburan, memperkukuh industri tempatan dan menyediakan peluang pekerjaan kepada generasi muda.

Beliau berpandangan kepimpinan masa depan memerlukan gabungan pengalaman profesional, keupayaan membuat keputusan dan pemahaman terhadap keperluan rakyat, bukan sekadar retorik politik.

“Perubahan yang mampan memerlukan kepimpinan awam yang berani serta dasar yang baik. Itulah sebabnya saya memilih untuk berkhidmat melalui politik,”jelasnya.

Menurut Ayna, beliau mahu menggunakan pengalaman yang diperoleh dalam sektor strategik negara bagi membantu memperkukuh ekonomi Sungai Balang yang mempunyai potensi besar dalam bidang maritim, perikanan, logistik dan industri berkaitan.

Beliau percaya pembangunan kawasan tidak boleh hanya bergantung kepada projek fizikal semata-mata, tetapi perlu disokong dengan penciptaan pekerjaan bernilai tinggi, latihan kemahiran dan peluang ekonomi yang mampan.

Katanya, inilah pendekatan yang ingin dibawa jika diberikan mandat oleh pengundi pada pilihan raya kali ini.

Ayna mengakui dirinya bukan datang daripada latar belakang ahli politik tradisional.

Sebaliknya, beliau melihat politik sebagai medan untuk menyelesaikan masalah rakyat melalui pengalaman yang diperoleh dalam dunia profesional.

Menurutnya, kepimpinan bukan sekadar bercakap mengenai perubahan, tetapi berupaya melaksanakan dasar yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 menyaksikan pengundian ditetapkan pada 11 Julai, manakala pengundian awal berlangsung pada 7 Julai. Tempoh berkempen selama 14 hari bermula selepas penamaan calon pada 27 Jun.

Pada pilihan raya kali ini, Pakatan Harapan mempertaruhkan beberapa calon daripada kalangan profesional bagi menawarkan kepimpinan yang berteraskan kepakaran, integriti dan pengalaman industri.

Ayna Soraya merupakan antara muka baharu yang diketengahkan PH bagi DUN Sungai Balang dengan membawa pengalaman dalam sektor maritim dan minyak serta gas sebagai nilai tambah kepada kepimpinan politik.

Beliau berharap pengalaman tersebut dapat diterjemahkan kepada dasar yang memberi manfaat kepada rakyat, sekali gus memperkukuh ekonomi setempat dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada generasi muda.

“Saya melihat pencalonan ini bukan sebagai pencapaian peribadi, tetapi satu amanah untuk berkhidmat dan membawa hasil kepada rakyat Sungai Balang,”jelasnya.

BACA JUGA KPT sangkal dakwaan Adun Jitra, tegas hak pelajar tempatan terpelihara