Jana Wibawa: Tengku Zafrul nafi pernah peroleh keuntungan peribadi

Bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menegaskan beliau tidak pernah memperoleh sebarang keuntungan peribadi berkaitan Program Jana Wibawa membabitkan Tan Sri Mahiaddin Yassin.

Tengku Zafrul berkata, sebaliknya secara tidak langsung Mahiaddin mempunyai kepentingan kepada Program Jana Wibawa.

“Sepanjang saya berkhidmat sebagai Menteri Kewangan di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin , saya tidak pernah memperoleh sebarang keuntungan peribadi dalam bentuk kewangan berkaitan Program Jana Wibawa.

“Saya mengesahkan saya tidak mendapat apa-apa sebarang keuntungan peribadi dan ganjaran dalam bentuk kewangan semasa menjawat jawatan Menteri Kewangan di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin berkait program itu,” katanya.

Dalam masa sama, beliau memberitahu hubungan kerja dengan Mahiaddin adalah baik sepanjang berkhidmat sebagai Menteri Kewangan dari Mac 2020 hingga Ogos 2021.

Menurut saksi pendakwaan ke-11 itu, beliau juga tidak mempunyai apa-apa motif jahat terhadap Mahiaddin atau mana-mana pihak dalam memberikan keterangan saya di mahkamah hari ini.

Tengku Zafrul berkata, objektif Program Jana Wibawa ialah untuk merangsang pembangunan kontraktor Bumiputera dan merancakkan sektor pembinaan negara ketika krisis pandemik Covid-19.

Jelasnya, ia sebagai sebahagian daripada pelbagai pakej rangsangan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan dalam menangani impak pandemik.

BACA JUGA Ahli Pas dikerah undi MCA, MIC: Murahnya agama demi berpolitik