Zafrul: Jalex Lee faham cabaran industri, baik untuk anak muda Dun Pemanis

Usaha mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bergaji tinggi supaya anak muda terus memilih membina masa depan di Segamat menjadi antara fokus utama perbincangan dalam sesi libat urus bersama pemain industri yang disertai kepimpinan Pakatan Harapan (PH).

Penasihat Kanan Politik Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata perbincangan itu memberi tumpuan kepada langkah memperkukuh daya saing Segamat sebagai destinasi pelaburan berkualiti yang mampu menawarkan pekerjaan bernilai tinggi kepada penduduk tempatan.

Menurut beliau, matlamat akhirnya ialah mengurangkan penghijrahan anak muda ke bandar-bandar besar atau ke Singapura dengan menyediakan peluang kerjaya yang lebih baik di kampung halaman sendiri.

“Bagaimana kita mahu memastikan anak muda Segamat memilih untuk membina masa depan di kampung halaman sendiri? Itulah antara persoalan utama yang kami bincangkan bersama pemain industri,” katanya.

Sesi tersebut turut dihadiri Pengerusi PKR Johor yang juga Ahli Parlimen Sekijang, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa; Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin; serta calon Pakatan Harapan bagi DUN Pemanis, Jalex Lee En Xiang.

Tengku Zafrul berkata beliau gembira melihat Jalex bukan sekadar mendengar pandangan industri, malah turut mengemukakan idea bagaimana Segamat boleh membangunkan identiti ekonomi yang tersendiri bagi menarik lebih banyak pelaburan berkualiti.

Katanya, pendekatan itu bukan sekadar bertujuan meningkatkan nilai pelaburan, sebaliknya memastikan limpahan ekonomi diterjemahkan kepada peluang pekerjaan bernilai tinggi untuk masyarakat setempat.

Beliau turut menghargai pandangan yang dikemukakan peserta sepanjang sesi berkenaan, yang disifatkannya sebagai praktikal dan berpaksikan cabaran sebenar dihadapi sektor industri.

“Perbincangan seperti ini membantu kita memahami keperluan sebenar di lapangan dan mencari penyelesaian yang lebih berkesan,” katanya.

Beliau berkata kerjasama erat antara kerajaan, pemain industri dan masyarakat akan terus diperkukuhkan bagi memastikan Segamat berkembang sebagai hab ekonomi yang mampu menawarkan peluang pekerjaan berkualiti serta meningkatkan taraf hidup penduduk.

PRN Johor Ke-16 menyaksikan DUN Pemanis menjadi antara kerusi yang mendapat perhatian apabila PH mengetengahkan Jalex Lee En Xiang sebagai calon dengan menawarkan agenda pembangunan ekonomi, pelaburan berkualiti dan penciptaan pekerjaan berpendapatan tinggi untuk generasi muda.

BACA JUGA Nurul Izzah yakin PH mampu sekat majoriti dua pertiga BN