Umno-Pas ‘kuburkan’ Bersatu di Johor, PH boleh raih undi protes – Penganalisis

Tindakan Pas yang didakwa tidak menggerakkan jentera membantu calon-calon Bersatu sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor boleh ditafsirkan sebagai petanda parti itu semakin dipinggirkan dalam Perikatan Nasional (PN), kata seorang penganalisis politik.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Mazlan Ali, berkata perkembangan itu memberi gambaran bahawa Pas dan Umno masing-masing mempunyai kepentingan politik yang akhirnya boleh menyebabkan kedudukan Bersatu semakin lemah di Johor.

“Apa yang berlaku sekarang menunjukkan Bersatu walaupun masih berada dalam Perikatan Nasional, namun parti itu berdepan risiko disingkirkan daripada gabungan tersebut pada masa depan,”katanya.

Menurut beliau, kemasukan parti-parti baharu ke dalam PN juga dilihat boleh menjadi sebahagian daripada proses penyusunan semula gabungan itu.

Katanya, walaupun perkara itu belum diumumkan secara rasmi, perkembangan tersebut menguatkan persepsi bahawa ruang politik Bersatu dalam PN semakin mengecil.

Mazlan turut mendakwa jentera Pas tidak membantu kempen calon-calon Bersatu di Johor walaupun mereka bertanding menggunakan logo PN.

“Bersatu bertanding atas tiket Perikatan Nasional, tetapi jentera Pas tidak membantu. Sebaliknya, Pas dilihat memberi tumpuan kepada kawasan lain yang tidak ditandingi Bersatu,”katanya.

Beliau berkata keadaan itu boleh menimbulkan rasa kecewa dalam kalangan ahli dan penyokong Bersatu yang merasakan mereka tidak lagi dilayan sebagai rakan setaraf dalam gabungan berkenaan.

Menurutnya, situasi tersebut berpotensi memberi kesan kepada corak pengundian pada PRN Johor.

“Ada kemungkinan penyokong Bersatu tidak akan mengundi Pas. Malah, tidak mustahil sebahagian daripada mereka memilih untuk menyokong Pakatan Harapan sebagai tanda protes,” katanya.

Mazlan berkata, kemarahan penyokong Bersatu terhadap Pas ketika ini mungkin lebih besar berbanding sentimen mereka terhadap PH.

“Bersatu merasakan mereka diketepikan. Sebab itu tidak mustahil berlaku peralihan undi di beberapa kawasan jika penyokong mahu menghantar mesej kepada kepimpinan PN,” katanya.

BACA JUGA BMW bukan kereta baharu, JPM jelaskan diguna sementara atas faktor keselamatan PMX