70 peratus pengundi muda semangat mahu pulang ke kampung mengundi kali pertama

Seramai 70 peratus pengundi pertama kali berusia 18 hingga 22 tahun menyatakan kesediaan untuk pulang ke kampung halaman bagi menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Menerusi satu tinjauan yang dijalankan akhbar Sin Chew Daily menerusi segmen komuniti ‘Da Johor’ mendapati, golongan muda bersemangat untuk terlibat sama menentukan masa depan Johor.

Mereka sanggup pulang ke kampung halaman untuk mengundi walaupun ada yang belajar atau bekerja di luar Johor seperti Kuala Lumpur, Singapura dan negeri lain.

Disebabkan ini ialah kali pertama mereka mempunyai peluang mengundi, jadi mereka tidak mahu melepaskan “hak mengundi yang berharga”.

Beberapa responden ditemui Sin Chew menyebut bahawa undi mereka boleh memberi kesan kepada hala tuju Johor untuk lima tahun akan datang.

Kos perjalanan, cuti kerja atau kesukaran balik bukan alasan untuk tidak mengundi.

Antara pandangan pengundi muda:

Michelle, 22, pelajar berkata, “saya sanggup balik dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru kerana menganggap undi pertama itu sesuatu yang berharga dan boleh menentukan masa depan Johor”.

Yu Jia Hao, 20, pelajar: “Saya mahu mengundi kerana risau isu harga barang meningkat tetapi gaji tidak naik, dan berharap kerajaan baharu menyelesaikan masalah rakyat”.

Sun, 22, bekerja: “Saya pasti balik mengundi walaupun ibu bapa masih mempertimbangkan kerana “jika anak muda tidak mengundi, orang tua akan menentukan masa depan kami”,”.

Haling, 20, pelajar: “Saya melihat PH lebih telus berbanding BN, walaupun diakui semua pihak mempunyai kelemahan”.

Huang Jun, 20, pelajar: “Saya akan balik dari Kuala Lumpur ke Muar sehari sebelum hari mengundi kerana mahu memilih calon yang “boleh buat kerja”,”.

BACA JUGA Onn Hafiz dipersoal berkempen dalam program Jelajah TVET MARA