PRN Johor bukan medan isyarat bebaskan Najib, elak Kerajaan Perpaduan di Putrajaya tergugat

Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak wajar dijadikan medan isyarat untuk membebaskan Datuk Seri Najib Razak yang menjalani hukuman penjara sejak 2022.

Penganalisis politik, Norman Radzuan berkata, isu bekas Perdana Menteri berkenaan kini dilihat semakin jelas cuba diangkat dalam naratif kempen BN Johor.

Menurutnya, ia semakin jelas terutama selepas Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) secara mengejut sebelum membawa mesej bahawa rakyat Johor ‘merindui’ Najib.

Norman berkata, mesej tersebut memberi maksud tersirat bahawa kemenangan besar BN dalam PRN Johor boleh dijadikan isyarat politik untuk menekan agenda pembebasan Najib.

“Bila Onn tanpa angin tanpa ribut bubarkan DUN dan terus memberitahu rakyat Johor rindukan Najib, apa signal tersebut?

“Bila anak Najib beritahu jika kemenangan besar BN, Umno-BN perlu menang besar PRN Johor untuk bebaskan Najib, itu paling ketara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau turut menyifatkan tindakan beberapa pihak dalam Umno yang menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan sentimen Najib sebagai modal kempen sebagai satu bentuk putar belit politik.

Katanya, isu Najib bukan dimulakan oleh Anwar atau Pakatan Harapan (PH), sebaliknya dibawa sendiri oleh keluarga dan penyokong bekas Perdana Menteri itu.

“Siapa yang mulakan isu Najib? Tak lain kaum keluarganya dan anaknya sendiri. Mereka heret lima juta rakyat Johor dengan mempromosikan pembebasan Najib,” ujarnya.

Tidak menyerang

Norman turut membandingkan pendirian Umno Johor dengan beberapa negeri lain apabila Menteri Besar Pahang dan Menteri Besar Perak tidak mengambil pendekatan menyerang Anwar atau PH.

Bahkan, katanya, berdasarkan maklumat rakan dalam pentadbiran Perak, kerjasama antara Menteri Besar Perak dengan Exco daripada PH berjalan dengan baik.

Keadaan itu, katanya, menimbulkan persoalan sama ada pendirian Umno Johor benar-benar mewakili sikap Umno di negeri-negeri lain.

“Saya lihat MB Pahang dan MB Perak tidak menyerang PMX dan PH. Malah, menurut rakan saya di dalam pentadbiran Perak, MB Perak sangat senang dengan kerjasama Exco bersama PH.

“Seolah-olah keputusan Umno Johor itu tidak direstui Umno di negeri-negeri lain,” katanya.

Justeru, Norman berkata, rakyat Johor perlu membaca isyarat politik PRN kali ini dengan lebih teliti kerana kemenangan besar BN bukan sekadar soal pentadbiran negeri, tetapi berpotensi memberi kesan kepada politik nasional.

Menang besar

Beliau berpendapat jika BN menang besar, bukan sahaja usaha membebaskan Najib akan diperkuat, malah sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan juga boleh tergugat.

“Percaya kata saya, jika BN menang besar bukan sahaja Najib mahu dibebaskan, malah mereka akan tarik sokongan di pusat,” katanya.

Sehubungan itu, Norman menyeru rakyat Johor menggunakan kuasa undi pada 11 Julai ini untuk menolak sebarang usaha mengembalikan negara kepada era politik lama yang menurutnya pernah merosakkan imej dan ekonomi negara.

Katanya, Malaysia baru sahaja keluar daripada episod gelap yang dikaitkan dengan skandal kewangan besar, justeru rakyat tidak harus membenarkan budaya “curi wang rakyat berbilion dimaafkan” menjadi normal dalam politik negara.

“Ini bukan negara yang hanya mengikut telunjuk parti dan pihak tertentu. Ini negara yang mengikut kehendak rakyat.

“Kita sudah lepas daripada kesengsaraan cengkaman kuasa kleptokrasi. Jangan kembali. Negara baru pulih, jangan bawa kembali ke zaman kegelapan 1MDB,” tegasnya.

Tambahnya, PRN Johor wajar menjadi medan rakyat menghantar mesej bahawa politik yang bersandarkan nostalgia terhadap pemimpin yang dikaitkan dengan skandal besar tidak lagi boleh diterima.

Beliau turut menggesa pengundi Johor menolak kerakusan BN Johor demi memastikan masa depan negeri dan negara tidak kembali ke belakang.

BACA JUGA Anwar umum langkah besar untuk generasi Felda, anak peneroka bakal boleh bina rumah atas lot keluarga