PRN Johor bukan cerminan PRU16, kerjasama PH-BN masih model ideal negara

Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak wajar dianggap sebagai gambaran tepat terhadap apa yang bakal berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), kata penganalisis politik, Dr Mohd Yusri Ibrahim.

Ketua Penyelidik Ilham Centre itu berkata, Johor mempunyai konteks politik yang sangat khusus dan berbeza berbanding landskap nasional serta negeri-negeri lain.

Justeru, katanya, faktor itu menyebabkan keputusan PRN Johor tidak boleh dijadikan ukuran menyeluruh bagi meramal arah sokongan rakyat pada PRU16 nanti.

Beliau berpendapat PRN Johor juga bukan petunjuk terbaik untuk menentukan model kerjasama politik nasional, meskipun terdapat pihak tertentu yang cuba menjadikan pilihan raya negeri itu sebagai medan memecahkan kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Jelasnya, usaha sedemikian bukan sahaja digerakkan oleh pihak luar, malah terdapat pihak dalam PH dan BN sendiri yang turut terbawa-bawa dengan agenda tersebut.

“Ya, ada pihak yang cuba jadikan platform PRN Johor ini untuk pecahkan kerjasama PH-BN di peringkat nasional.

“Dalam PH dan BN sendiri turut ada yang terbawa-bawa dengan agenda ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Bagaimanapun, Dr Yusri menegaskan, menuju PRU16, kerjasama PH-BN masih merupakan model paling ideal untuk Malaysia.

Menurut beliau, model itu dilihat lebih sesuai kerana mampu membentuk kerajaan yang kukuh serta mempunyai perwakilan etnik yang lebih seimbang, selaras dengan komposisi sebenar rakyat Malaysia.

“Pada pandangan saya, menuju PRU16, kerjasama PH-BN masih lagi model yang ideal untuk Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya kerjasama PH-BN tidak lagi menjadi pilihan, alternatif lain yang boleh dipertimbangkan ialah kerjasama antara PH dan PN, khususnya PN “team A” yang diketuai Pas.

Namun, katanya, ukuran utama bagi mana-mana kerjasama politik bukan sekadar soal angka kerusi, sebaliknya kemampuan membentuk kerajaan stabil, inklusif dan tidak bersifat monoetnik.

Kemelut politik

Pensyarah di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu berpendapat kerajaan yang terlalu condong kepada satu kaum sahaja berisiko mencetuskan suasana politik yang tegang dan berpanjangan.

Katanya, keadaan itu boleh menyebabkan negara terus berada dalam kemelut politik walaupun pilihan raya sudah berakhir.

“Jika kerajaan yang dibentuk lebih bersifat monoetnik, susah untuk kita mencapai ketenangan. Hingar-bingar akan berterusan sehingga bakal mengganggu banyak perkara.

“Akhirnya walaupun pilihan raya berakhir, kita akan terus berpolitik pada ketegangan tinggi,” kata beliau.

Ujarnya, politik yang sentiasa berada dalam suhu panas akan menyebabkan kerajaan dan negara hilang fokus terhadap agenda lebih besar, termasuk pembangunan negara, pengukuhan ekonomi dan kebajikan rakyat.

Sehubungan itu, Dr Yusri menegaskan kestabilan politik selepas PRU16 perlu dibina melalui kerjasama yang mengambil kira realiti masyarakat majmuk Malaysia, bukan semata-mata sentimen pilihan raya di sebuah negeri.

Tambahnya, PRN Johor tetap penting dari sudut politik negeri, namun ia tidak seharusnya dibaca secara berlebihan sebagai penentu tunggal arah politik nasional.

BACA JUGA Anwar umum langkah besar untuk generasi Felda, anak peneroka bakal boleh bina rumah atas lot keluarga