Nak balik mengundi? KTMB tambah 7,464 tiket ETS, diskaun tambang hingga 20%
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menambah 7,464 tempat duduk bagi perkhidmatan tren elektrik (ETS) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi menampung lonjakan permintaan penumpang yang pulang mengundi hujung minggu ini.
Malah, syarikat pengendali rel itu turut menawarkan tambang promosi sehingga 20 peratus bagi perjalanan menggunakan tren tambahan sepanjang tempoh 10 hingga 12 Julai.
KTMB dalam satu kenyataan berkata, empat perkhidmatan tren tambahan akan disediakan bagi laluan KL Sentral–JB Sentral–KL Sentral, manakala empat lagi bagi laluan JB Sentral–Gemas–JB Sentral.
Langkah itu diambil selepas tiket tren tambahan yang mula dijual pada 19 Jun lalu habis ditempah berikutan permintaan tinggi daripada orang ramai.
“Secara keseluruhannya, KTMB menawarkan 2,488 tempat duduk tambahan sehari, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 7,464 tiket sepanjang tiga hari operasi,” menurut kenyataan itu.
Bagi laluan JB Sentral–Gemas–JB Sentral, jualan tiket dibuka bermula jam 3 petang 7 Julai, manakala tiket bagi laluan KL Sentral–JB Sentral–KL Sentral mula dijual pada jam 9 pagi 8 Julai.
Setiap perjalanan tren tambahan menyediakan kapasiti 312 tempat duduk dan akan beroperasi dari 10 hingga 12 Julai.
Menurut KTMB, inisiatif itu bertujuan memudahkan rakyat, khususnya pengundi Johor yang berada di luar negeri, pulang menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian dengan perjalanan yang lebih selesa dan teratur.
Selain membantu mengurangkan kesesakan jalan raya, langkah itu juga menyokong agenda Road to Rail yang menggalakkan lebih ramai rakyat menggunakan pengangkutan awam.
KTMB turut menggalakkan penumpang membuat pembelian tiket lebih awal bagi menikmati tambang promosi, selain mengelakkan kehabisan tempat pada saat akhir.
Penumpang juga dinasihatkan hadir di stesen sekurang-kurangnya 30 minit sebelum waktu berlepas kerana pintu masuk akan ditutup lima minit sebelum tren bertolak.
Tiket boleh dibeli melalui aplikasi KITS Style, laman sesawang rasmi KTMB atau mesin kiosk di stesen terpilih.
PRN Johor akan berlangsung Sabtu ini dengan kemudahan tren tambahan itu dijangka menjadi pilihan pengundi yang pulang dari Lembah Klang dan negeri-negeri lain bagi menunaikan tanggungjawab masing-masing.
BACA JUGA Muhyiddin arah penyokong jangan undi BN, bentuk pembangkang yang kuat