Hafiz Roslan tekad bawa Agenda Generasi Felda di Machap
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap, Nur Hafiz Roslan bertekad memperjuangkan Agenda Generasi Felda khususnya di Felda Ayer Hitam, sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.
Ahli Jawatankuasa Pemuda AMANAH Nasional itu berkata, pengundi Felda merupakan kelompok penting yang tidak boleh lagi dianggap sebagai pengundi mudah kerana mempunyai kekuatan besar dalam menentukan hala tuju politik Johor.
Menurut peguam syarie berkenaan, PRN Johor kali ini melibatkan kira-kira 200,000 pengundi Felda yang merentasi 24 kawasan DUN, 66 pusat daerah mengundi (PDM) dan 73 rancangan Felda.
“Dengan kekuatan 28,972 keluarga peneroka, kelompok ini adalah penentu utama kemenangan.
“Calon-calon yang bertanding tidak boleh lagi menganggap mereka sebagai pengundi mudah,” katanya dalam satu catatan bertajuk Nota Kasih Buat Pengundi Felda Ayer Hitam.

Satu lawan satu
Untuk rekod, dalam PRN Johor Sabtu ini, Hafiz berdepan saingan satu lawan satu dengan penyandang Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang juga Pengerusi Umno negeri dan BN negeri.
Mengulas lanjut, Hafiz, 41, berkata, sudah menjadi kelaziman pihak negeri melepaskan tanggungjawab sosioekonomi rancangan Felda dengan alasan bahawa Felda merupakan urusan Kerajaan Persekutuan.
Namun, katanya, hakikat yang perlu difahami ialah apabila pengurusan ladang oleh Felda merosot, pendapatan keluarga peneroka turut terjejas secara langsung.
Menurut beliau, keadaan itu bukan sahaja memberi kesan kepada kehidupan peneroka, malah turut menjejaskan kitaran ekonomi negeri kerana warga Felda merupakan rakyat Johor yang berbelanja dan menjana ekonomi di negeri ini.
“Kesannya akan merudumkan kitaran ekonomi dan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) Negeri Johor kerana peneroka ini adalah rakyat negeri ini yang berbelanja di sini, bukannya di Putrajaya,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa setiap calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) perlu memahami asas perundangan tanah, khususnya berkaitan kuasa kerajaan negeri terhadap kawasan penempatan Felda.
Jelasnya, di bawah Seksyen 3 Akta Tanah Kawasan Penempatan Berkelompok 1960 atau Akta GSA 1960, kuasa untuk mengisytiharkan dan menentukan dasar penempatan berkelompok berada di bawah Pihak Berkuasa Negeri (PBN) yang diketuai Menteri Besar.
Malah, kata pemegang Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang dari Universiti Malaya (UM) itu, warga peneroka juga membayar cukai tanah tahunan terus kepada Kerajaan Negeri Johor, bukannya kepada Kerajaan Persekutuan.
Nur Hafiz berkata, dari sudut status perundangan pula, FELDA di bawah Akta Kemajuan Tanah 1956 berperanan sebagai badan berkanun untuk memajukan tanah dan pertanian, bukannya memiliki kedaulatan wilayah terhadap tanah negeri.
“Di sisi undang-undang, mereka hanyalah ejen pengurus yang diberi kebenaran mengelola tanah milik negeri,” katanya.
Menuding jari
Sehubungan itu, Hafiz berkata, kerajaan negeri tidak sepatutnya terus menuding jari kepada Putrajaya setiap kali ladang peneroka berdepan masalah.
Sebaliknya, kata beliau, kerajaan negeri mempunyai ruang dan tanggungjawab untuk memantau kebajikan ladang, menegur kelemahan agensi pengurus serta melaksanakan sokongan ekonomi demi melindungi survival warga peneroka.
“Apa yang 200,000 pengundi ini mahukan hari ini amat jelas. Mereka mahu kebajikan ladang dan ekonomi mereka dipantau secara terperinci oleh kerajaan negeri.
“Sebagai pemilik asal tanah, negeri mempunyai hak penuh untuk masuk campur, menegur kelemahan agensi pengurus dan melakukan sokongan ekonomi demi menyelamatkan survival rakyatnya,” katanya.
Dalam masa sama, Hafiz menyeru pengundi Felda Johor supaya bijak menilai calon yang benar-benar memahami undang-undang tanah dan berani menggunakan kuasa kerajaan negeri untuk membela nasib ekonomi warga peneroka.
Bagi warga Felda Ayer Hitam di DUN Machap, beliau berkata, Agenda Generasi Felda akan menjadi antara fokus perjuangannya.
“Saya akan usahakan Agenda Generasi FELDA di FELDA Ayer Hitam.
“Saya akan aktif dalam libat urus bersama agensi-agensi berkaitan dan memperjuangkan agenda pemerkasaan generasi FELDA,” tegas Hafiz lagi.
BACA JUGA PRN Johor penentu BN kembali dominan atau Kerajaan Perpaduan terus jadi pilihan