PN sokong BN jadi penentu kerajaan Johor? Bersatu sanggah kenyataan Hadi
Perikatan Nasional (PN) tidak pernah membuat sebarang keputusan untuk menyokong sama ada Barisan Nasional (BN) sekiranya tiada gabungan memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu ini.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, setakat ini Majlis Tertinggi PN tidak pernah membincangkan atau memutuskan sebarang pendirian untuk bekerjasama dengan mana-mana gabungan sekiranya berlaku situasi Dewan Undangan Negeri (DUN) tergantung.
Sebaliknya, katanya, pendirian dasar Bersatu kekal selari dengan keputusan PN yang memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha memastikan seramai mungkin calon gabungan itu dipilih rakyat Johor bagi mewakili mereka di DUN.
Menurut Tun Faisal, matlamat utama PN ketika ini ialah membentuk blok pembangkang yang mampu menjalankan fungsi semak dan imbang secara berkesan, sebagaimana yang berlaku di beberapa negeri lain.
“Saya tidak pula dimaklumkan mengenai sebarang perbincangan atau ketetapan Majlis Tertinggi PN untuk mengubah pendirian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang menyatakan parti itu bersedia memberikan sokongan kepada BN sekiranya gabungan berkenaan memerlukan majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri selepas PRN Johor.
Menurut Abdul Hadi, kesediaan itu dibuat atas pertimbangan memastikan pentadbiran negeri terus dikuasai oleh Melayu-Islam, di samping menghalang Pakatan Harapan daripada mengambil alih kerajaan negeri.
Kenyataan Presiden Pas itu mencetuskan persoalan mengenai pendirian rasmi PN sekiranya keputusan pilihan raya menghasilkan DUN tergantung, memandangkan Pas dan Bersatu merupakan komponen utama gabungan tersebut.
Setakat ini, kenyataan Tun Faisal dilihat memperjelaskan bahawa fokus rasmi PN masih tertumpu kepada memperoleh sokongan pengundi bagi memenangkan sebanyak mungkin kerusi, tanpa sebarang ketetapan untuk menyokong BN atau PH dalam pembentukan kerajaan negeri selepas pilihan raya.
BACA JUGA ‘Jangan bazir undi pada Kancil’, Tian Chua rayu pengundi kukuhkan PH di Johor