Ilham Centre : Ramalan BN dua pertiga belum muktamad, pengundi PH masih penentu
Unjuran Barisan Nasional (BN) berpotensi membentuk kerajaan Johor dengan majoriti dua pertiga bukanlah penamat kepada saingan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sebaliknya keputusan akhir masih bergantung kepada sejauh mana Pakatan Harapan (PH) mampu menggerakkan penyokongnya keluar mengundi.
Kajian lapangan ILHAM Centre menunjukkan cabaran terbesar PH bukan kerana kehilangan sokongan kepada BN, tetapi kadar keluar mengundi penyokong tradisinya yang dijangka lebih rendah berbanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), khususnya dalam kalangan pengundi Cina di kawasan bandar dan separa bandar.
Menurut laporan itu, mood pengundi Cina yang agak hambar tidak diterjemahkan kepada sokongan terhadap BN. Sebaliknya, ramai masih melihat PH sebagai pilihan politik mereka, namun tahap keterujaan untuk keluar mengundi didapati semakin berkurangan.
ILHAM Centre menyifatkan faktor itu sebagai pemboleh ubah paling kritikal yang bakal menentukan keputusan di banyak kerusi bandar, dengan PH memerlukan sekurang-kurangnya 65 peratus kadar keluar mengundi dalam kalangan pengundi Cina untuk mengekalkan kelebihan di kerusi-kerusi berkenaan.
Selain itu, kajian tersebut turut mengenal pasti sekitar 17 peratus pengundi masih belum membuat keputusan, majoritinya terdiri daripada pengundi muda yang hanya menentukan pilihan pada penghujung tempoh kempen.
Golongan itu didapati lebih menilai rekod prestasi calon, kemampuan menyelesaikan isu setempat dan keterlihatan di kawasan berbanding kesetiaan terhadap parti politik. Dapatan itu memberi ruang kepada PH untuk mempengaruhi pengundi pada saat-saat akhir sekiranya kempen calon berjaya menyentuh isu yang dekat dengan kehidupan rakyat.
Laporan ILHAM turut menunjukkan lapan kerusi masih berada dalam kategori persaingan sengit iaitu Tenang, Tangkak, Maharani, Layang-Layang, Puteri Wangsa, Johor Jaya, Kota Iskandar dan Bukit Batu.
Menurut kajian itu, keputusan di kerusi-kerusi tersebut masih bergantung kepada tiga faktor utama iaitu kadar keluar mengundi, hala tuju sokongan penyokong Perikatan Nasional (PN) serta keputusan pengundi muda yang masih belum membuat pilihan.
Walaupun ILHAM mengunjurkan BN mendahului di 39 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan PH di sembilan kerusi, baki lapan kerusi yang masih sengit berpotensi mengubah landskap keputusan sekiranya berlaku peningkatan kadar keluar mengundi dalam kalangan penyokong PH.
Dalam masa sama, kajian itu mengingatkan bahawa tingkah laku pengundi dalam PRN berbeza daripada PRU. Jika BN dilihat mempunyai kelebihan di kawasan majoriti Melayu, PH pula masih mempunyai asas sokongan kukuh di kawasan bandar dan separa bandar, namun kelebihan itu hanya dapat diterjemahkan kepada kemenangan jika penyokongnya benar-benar keluar mengundi.
Kajian lapangan ILHAM Centre dijalankan dari 26 Jun hingga 9 Julai melibatkan 1,250 responden di semua 56 DUN di Johor, selain disokong perbincangan kumpulan fokus dan temu bual mendalam bagi menilai corak serta kecenderungan pengundi menjelang hari pengundian.
BACA JUGA RENCANA | Strategi kempen PRN Johor: Tawan pengundi atas pagar atau ulang kesilapan lama?