Ilham Centre : Pengundi muda boleh jadi penyelamat PH di Johor
Pakatan Harapan (PH) masih mempunyai peluang mengubah landskap Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sekiranya berjaya menawan hati pengundi muda yang masih belum membuat keputusan menjelang hari pengundian.
Kajian ILHAM Centre mendapati hampir 48 peratus daripada keseluruhan pengundi terdiri daripada golongan muda, manakala sekitar 17 peratus pengundi masih belum menentukan pilihan, sekali gus menjadikan kelompok itu penentu utama di banyak kerusi yang dijangka sengit.
Menurut laporan itu, pengundi muda tidak lagi terikat dengan kesetiaan kepada mana-mana parti politik, sebaliknya lebih bersifat candidate centric dengan memberi penekanan kepada kredibiliti, rekod perkhidmatan dan kemampuan calon menyelesaikan masalah rakyat.
Lebih penting, golongan muda dikenal pasti sebagai ‘late decider’, iaitu hanya membuat keputusan pada penghujung tempoh berkempen selepas menilai prestasi calon, mengikuti perkembangan di media sosial dan berbincang dengan rakan sebaya.
Dapatan itu memberi ruang kepada PH untuk mengubah sokongan pada saat-saat akhir sekiranya berjaya menawarkan calon yang diyakini serta mengangkat isu yang dekat dengan kehidupan anak muda seperti peluang pekerjaan, kos sara hidup, perumahan mampu milik dan mobiliti harian.
ILHAM Centre turut mendapati isu-isu berkaitan kehidupan seharian mengatasi polemik politik nasional dalam mempengaruhi kecenderungan pengundi.
Laporan itu juga menyebut keputusan di lapan kerusi masih berada dalam kategori sengit, dengan salah satu faktor utama ialah hala tuju pengundi muda yang masih belum membuat pilihan.
Walaupun kajian mengunjurkan Barisan Nasional (BN) berada di landasan membentuk kerajaan negeri, ILHAM menegaskan corak pengundian golongan muda sukar diramalkan kerana keputusan mereka lazimnya hanya dimuktamadkan pada penghujung kempen.
Keadaan itu bermakna kempen saat akhir masih mampu mengubah keputusan di beberapa kerusi marginal, terutama jika PH berjaya meningkatkan keyakinan pengundi muda terhadap calon yang ditampilkan.
Kajian lapangan ILHAM Centre dijalankan antara 26 Jun hingga 9 Julai melibatkan 1,250 responden di seluruh Johor melalui kaji selidik, perbincangan kumpulan fokus dan temu bual mendalam bagi menilai pola pengundian menjelang PRN Johor.
BACA JUGA Anwar doakan kesihatan Tun M, kongsi foto bersama