Selepas PN dapat ‘telur’, Puad gelar parti Hadi ‘the loser’
Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menggelar Pas sebagai ‘the loser’ kerana dianggap sebagai pihak yang paling rugi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semalam.
Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu secara sinis berkata, Pas membayar harga politik yang mahal kerana sanggup mengambil pendekatan yang akhirnya memusnahkan rakan komponennya sendiri.
Katanya, tindakan itu mengukuhkan persepsi bahawa Pas bukan rakan politik yang boleh dipercayai untuk membentuk kerjasama jangka panjang.
“Mereka mengamalkan politik pelik. Sanggup bunuh rakan komponen sendiri.
“Kini Pas lengkap sebagai parti yang tidak boleh jadi rakan kongsi. Pas adalah ‘the loser’,” tempelaknya menerusi hantaran di Facebook pagi ini.
Untuk rekod, Pas dan Bersatu yang menjadi komponen Utama Perikatan Nasional (PN) gagal memenangi sebarang kerusi walaupun pernah memperoleh tiga kerusi pada pilihan raya lalu.
Dalam PRN Johor semalam, PN bertanding di 33 kerusi DUN dengan Bersatu meletakkan 16 calon, Pas (11), MIPP (5) manakala Pejuang satu kerusi.
Riwayat Bersatu
Mengulas lanjut, Puad yang juga bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) berpendapat kemenangan Pas paling besar dalam PRN Johor hanyalah apabila berjaya menamatkan riwayat parti Bersatu secara total.
“Usaha awal Pas dengan beri muka kepada Hamzah tidak mampu melumpuhkan Bersatu. Tetapi kali ini memang Bersatu ranap terus,” katanya.
Bagaimanapun, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit berkenaan mempersoalkan sejauh mana Pas benar-benar menyumbang kepada kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam PRN Johor.
Menurutnya, jika benar penyokong Pas beralih mengundi BN, jumlahnya dipercayai tidak begitu besar berdasarkan prestasi undi parti itu di beberapa kerusi seperti Tiram, Tenang, Kahang, Jementah dan Simpang Jeram.
Sebaliknya, Puad berpendapat kemenangan BN lebih didorong oleh gelombang sokongan terhadap gabungan berkenaan, selain kembalinya sebahagian pengundi Cina menyokong BN.
“Maka kemenangan BN sudah tentu kerana gelombang biru yang terlalu kuat, di samping pengundi Cina yang kembali menyokong BN,” katanya lagi.
BACA JUGA 48 kerusi bukan cek kosong bebaskan Bossku, BN diingat bezakan kepentingan parti dan negara