Nga Kor Ming sedia letak jawatan jika ini yang berlaku, pertegas prinsip kehakiman tak boleh digadai

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menegaskan beliau bersedia melepaskan jawatan dalam Jemaah Menteri jika Datuk Seri Najib Razak dibebaskan tanpa menjalani hukuman setimpal.

Ahli Parlimen Teluk Intan berkenaan berkata, pendiriannya itu bukan berasaskan sentimen peribadi atau kepentingan politik, sebaliknya berhubung soal prinsip, kedaulatan undang-undang dan integriti institusi kehakiman.

“Jika Datuk Seri Najib yang mengakibatkan rakyat Malaysia kini terpaksa menanggung hutang 1MDB sebanyak RM51.4 bilion boleh dilepaskan tanpa menjalankan hukuman yang setimpal dengan kesalahan walaupun sudah didapati bersalah, ia bermakna kewibawaan sistem kehakiman negara ini telah digadai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wakil rakyat DAP berkenaan berkata, keadaan sedemikian juga akan memberi gambaran bahawa prinsip kedaulatan undang-undang seperti yang termaktub dalam Rukun Negara tidak lagi dihormati.

“Sekiranya keadaan sedemikian berlaku, demi mempertahankan integriti sistem kehakiman negara kita yang tercinta, saya sudi letak jawatan sebagai anggota Jemaah Menteri.

“Perkara ini tidak ada kaitan dengan soal peribadi, sebaliknya ia merupakan satu soal prinsip utama. Saya kekal berpegang teguh dengan prinsip ini,” tegas beliau.

Kenyataan penuh

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP itu turut meminta pihak yang mendesaknya meletakkan jawatan supaya membaca kenyataan penuhnya dalam wawancara eksklusif bersama Oriental Daily.

Menurutnya, pandangan yang dikemukakan dalam wawancara itu selaras dengan pendiriannya sebagai seorang peguam cara dan peguam bela Mahkamah Tinggi Malaya bahawa kewibawaan sistem kehakiman mesti dipertahankan.

Dalam kenyataan sama, Nga mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) atas kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri Johor dan menegaskan keputusan proses demokrasi perlu dihormati semua pihak.

Katanya, kemenangan majoriti dua pertiga itu merupakan amanah dan tanggungjawab besar yang perlu dipikul BN dengan penuh integriti.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pengundi yang menyokong Pakatan Harapan serta petugas dan sukarelawan yang bekerja sepanjang kempen.

“Walaupun kami tidak menang kali ini, esok masih ada.

“Pakatan Harapan tetap komited dan cakna untuk terus bekerja kuat dan berbakti kepada rakyat dan negara,” kata Nga lagi.

BACA JUGA Bangsa Johor pilih BN dan PH, PN dan Bersama pula kena ‘TKO’