Pelarian tiada ‘kabel’, Anwar arah tindakan tanpa kompromi

Kerajaan MADANI menegaskan tiada mana-mana pelarian, termasuk pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), yang kebal daripada tindakan undang-undang apabila melakukan kesalahan di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelarian yang didapati terbabit dalam jenayah telah pun dikenakan tindakan dan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan tanpa kompromi mengikut undang-undang negara.

Pendirian itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dipengerusikannya petang tadi, yang turut memberi perhatian kepada isu pengurusan pelarian susulan kebimbangan yang dibangkitkan rakyat.

Menurut Anwar, kerajaan kini sedang memperkemaskan proses pendaftaran pelarian supaya lebih teratur, selain memanfaatkan teknologi serta analitik data bagi membanteras aktiviti penyeludupan, pemerdagangan manusia, penyalahgunaan dokumen dan kemasukan melalui lorong haram.

“Kerajaan MADANI berpendirian tegas bahawa tiada mana-mana pelarian yang kebal daripada tindakan undang-undang, termasuk pemegang kad UNHCR.

“Pelarian yang melakukan jenayah telah pun diambil tindakan, dan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan tanpa kompromi selaras dengan undang-undang negara,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat itu.

Selain isu pelarian, MTEN turut meneliti kedudukan semasa keterjaminan makanan negara.

Anwar berkata, bekalan makanan ruji ketika ini berada pada tahap stabil dan mencukupi, dengan keutamaan kerajaan memastikan bekalan terus terjamin, harga makanan kekal terkawal serta kebajikan pesawah dan pengeluar makanan tempatan terus dipelihara.

Menurutnya, agenda keselamatan makanan kekal menjadi keutamaan kerajaan memandangkan ia berkait rapat dengan kos sara hidup dan kesejahteraan rakyat.

Mesyuarat itu turut membincangkan cabaran yang sedang dihadapi sektor pembuatan susulan tekanan daripada gangguan rantaian bekalan global.

Anwar berkata, antara industri yang diberi perhatian ialah industri plastik kerana peranannya sebagai penyokong kepada pelbagai sektor strategik termasuk pembungkusan makanan, elektrik dan elektronik (E&E), automotif serta peranti perubatan.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersama Kementerian Ekonomi mengadakan libat urus lanjut dengan pemain industri bagi merumuskan penyelesaian yang mampu mengurangkan tekanan kos.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan keseluruhan ekosistem pembuatan negara kekal berdaya tahan dan berdaya saing dalam jangka panjang di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global.

BACA JUGA Walau tidak terpilih, calon PH Maharani terus berkhidmat