AMANAH pertaruh barisan berpengalaman, anak muda dan pemimpin akar umbi di Negeri Sembilan

Parti Amanah Negara (AMANAH) mempertaruhkan gabungan pemimpin berpengalaman, tokoh anak muda serta individu yang dekat dengan masyarakat sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Menerusi perkongsian di Facebook, AMANAH berkata, sembilan calon yang diketengahkan itu dipilih dengan penuh rasa tanggungjawab serta diyakini mampu membawa aspirasi rakyat di kawasan masing-masing.

Menurut parti komponan PH itu, barisan berkenaan terdiri daripada individu berintegriti, dekat dengan rakyat dan bersedia berkhidmat tanpa mengira kaum, agama serta latar belakang.

“Mereka bersedia berkhidmat demi membina Negeri Sembilan yang lebih maju dan sejahtera,” katanya.

Di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.04 Klawang, AMANAH menampilkan Timbalan Pengerusi AMANAH Negeri Sembilan, Datuk Ir. Bakri Sawir yang juga penyandang kerusi berkenaan.

Bakri pernah menganggotai pentadbiran negeri sebagai Exco yang mengendalikan portfolio pertanian dan industri asas tani dari 2018 hingga 2023.

Bagi kerusi N.05 Serting, PH mempertaruhkan Ketua AMANAH Kawasan Jempol, Yaacob Mahmood.

Ketua Angkatan Wanita AMANAH Negara Negeri Sembilan, Hajah Zarinna Abu Zarin pula diletakkan di N.09 Lenggeng.

Zarinna turut memegang jawatan Ketua Wanita PH Negeri Sembilan.

Sementara itu, Ketua Pemuda AMANAH Negeri Sembilan, Mohd Hanis Mohd Alimin, dipilih bertanding di N.17 Senaling.

Hanis merupakan Ahli Jawatankuasa Pemuda AMANAH Nasional.

Di N.19 Johol pula, AMANAH menampilkan Ketua AMANAH Kawasan Kuala Pilah, Mohd Zailan Mohd Munawar.

Kerusi N.25 Paroi menyaksikan Setiausaha Pemuda AMANAH Nasional, Ustaz Ahmad Shahir Mohd Shah, diberi kepercayaan membawa cabaran PH.

Ahmad Shahir turut berpengalaman dalam pentadbiran kerajaan negeri menerusi peranannya sebagai Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Negeri Sembilan.

Bagi N.28 Kota, AMANAH mengetengahkan Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Negeri Sembilan, Ustaz Muhammad Allif Ibrahim, yang juga pernah berkhidmat sebagai Penyelaras DUN Kota.

Ketua AMANAH Kawasan Port Dickson, Nasir Raman, pula dipilih bertanding di N.31 Bagan Pinang.

Nasir turut mempunyai pengalaman dalam pentadbiran pihak berkuasa tempatan sebagai Ahli Majlis Majlis Perbandaran Port Dickson.

Di N.35 Gemencheh, PH mempertaruhkan Naib Pengerusi AMANAH Negeri Sembilan merangkap Ketua AMANAH Kawasan Tampin, Datuk Abd Latif A. Tambi.

Beliau juga pernah menjalankan tanggungjawab sebagai Penyelaras DUN Gemencheh.

AMANAH berkata, barisan calon tersebut mencerminkan kesediaan parti menawarkan kepimpinan yang beramanah, stabil dan komited untuk terus berkhidmat kepada rakyat Negeri Sembilan.

Parti itu turut menyeru pengundi supaya memberikan sokongan kepada calon-calon PH bagi memastikan kesinambungan sebuah kerajaan negeri yang stabil, progresif serta mengutamakan kebajikan rakyat.

“Undilah calon Pakatan Harapan. Bersama kita kekalkan kerajaan yang stabil, beramanah dan berkhidmat untuk rakyat.

“Kekal Harapan, Harapan untuk Negeri Sembilan,” menurut AMANAH lagi.

Malam tadi, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan senarai 36 calon gabungan itu yang akan bertanding pada PRN Negeri Sembilan ke-16, 1 Ogos depan.

PKR bertanding di 16 kerusi DUN manakala DAP dan AMANAH masing-masing mempertaruhkan 11 dan sembilan calon.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon pada 18 Julai, pengundian awal pada 28 Julai dan hari mengundi pada 1 Ogos depan.

BACA JUGA MCA bantah larangan arak: Port Dickson sebenarnya dilimpahi hampir 11 juta pengunjung