MADANI buka lembaran baru untuk pekerja sosial
Selepas lebih sedekad dirangka dan melalui pelbagai sesi libat urus, Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Kerja Sosial 2026 akhirnya diluluskan Dewan Rakyat, sekali gus membuka lembaran baharu kepada pengiktirafan dan pengawalseliaan profesion kerja sosial di Malaysia.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kelulusan RUU itu merupakan langkah penting Kerajaan MADANI dalam memperkukuh sistem kesejahteraan sosial negara menerusi penyampaian perkhidmatan yang lebih profesional, beretika dan berakauntabiliti.
Beliau berkata, penggubalan RUU tersebut adalah hasil komitmen berterusan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersama pelbagai pemegang taruh sejak lebih 10 tahun lalu.
“Sepanjang tempoh itu, pelbagai siri libat urus telah dilaksanakan bersama kementerian, agensi kerajaan, kerajaan negeri, badan bukan kerajaan (NGO), institusi pengajian tinggi, pengamal kerja sosial dan pelbagai pihak berkepentingan bagi memastikan RUU ini memenuhi keperluan semasa serta masa hadapan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nancy turut merakamkan penghargaan kepada 23 Ahli Dewan Rakyat yang mengambil bahagian dalam perbahasan bacaan kali kedua RUU itu.
Katanya, pandangan serta cadangan yang dikemukakan mencerminkan komitmen dwipartisan dalam memperkukuh profesion kerja sosial, selain akan diteliti bagi menambah baik pelaksanaan akta berkenaan pada masa hadapan.
Menurut beliau, keperluan mewujudkan undang-undang khusus bagi mengawal selia profesion kerja sosial menjadi semakin mendesak berikutan perubahan landskap sosial negara, termasuk peningkatan populasi warga emas, urbanisasi, kos sara hidup dan pelbagai cabaran sosial baharu.
Melalui RUU itu, Majlis Profesion Kerja Sosial Malaysia akan ditubuhkan bagi mengawal selia profesion tersebut, termasuk mengeluarkan perakuan amalan kepada pengamal yang memenuhi syarat, menetapkan standard kompetensi profesional serta mengawasi aspek etika dan tatatertib.
Penubuhan majlis itu juga membolehkan orang ramai menyemak kelayakan pengamal kerja sosial yang berdaftar sebelum mendapatkan perkhidmatan, sekali gus meningkatkan keyakinan terhadap sistem penyampaian perkhidmatan sosial negara.
Selain memperkukuh perlindungan kepada rakyat, Nancy berkata RUU itu turut membuka ruang kepada pembangunan profesion kerja sosial sebagai kerjaya profesional yang mempunyai piawaian kompetensi jelas serta diiktiraf secara rasmi.
Beliau berkata langkah itu dijangka merangsang pembangunan modal insan dalam bidang kerja sosial, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, menarik lebih ramai graduan menyertai bidang berkenaan serta memperkukuh kerjasama antara sektor awam, swasta dan badan bukan kerajaan.
“Kelulusan Rang Undang-Undang Profesion Kerja Sosial 2026 ini merupakan satu langkah besar ke arah membina sistem kesejahteraan sosial yang lebih kukuh, profesional dan mampan.
“Ia bukan sahaja memberikan pengiktirafan sewajarnya kepada profesion kerja sosial, malah memperkukuh perlindungan kepada rakyat yang memerlukan bantuan,” katanya.
Beliau berkata KPWKM yakin RUU itu akan menjadi pemangkin kepada pembentukan ekosistem kerja sosial yang lebih tersusun, diyakini dan mampan, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang meletakkan nilai kemanusiaan, ihsan dan kesejahteraan rakyat sebagai teras pembangunan negara.
BACA JUGA PRN Negeri Sembilan bukan sekadar pilih kerajaan, tapi penamat krisis perlembagaan?