Dunia makin tak menentu, Malaysia nak simpan stok petroleum sendiri? Ini penjelasan PMX

Kerajaan akan mengkaji keperluan mewujudkan stok simpanan petroleum negara sebagai langkah memperkukuh keselamatan tenaga Malaysia dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik dan risiko gangguan bekalan tenaga global.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tenaga Negara Bilangan 1 Tahun 2026 yang dipengerusikannya pagi tadi bagi memastikan agenda peralihan tenaga negara terus dilaksanakan secara tersusun dan berimpak berlandaskan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Menurut beliau, Malaysia terus menunjukkan kemajuan dalam usaha memperkukuh tenaga bersih apabila kapasiti terpasang Tenaga Boleh Baharu (TBB) meningkat kepada 31 peratus setakat Disember tahun lalu, sekali gus mengurangkan kebergantungan negara kepada arang batu.

Katanya, pencapaian itu turut diperkukuhkan menerusi pelaksanaan Skim Corporate Renewable Energy Supply Scheme (CRESS) yang kini dilengkapi Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS).

Dalam sektor pengangkutan, Anwar berkata pelaksanaan Biodiesel B15 sedang memacu penggunaan bahan api alternatif yang lebih mampan dan akan diperkasakan lagi melalui pembangunan hab biobahan api PETRONAS di Pengerang.

Beliau berkata projek elektrifikasi pengangkutan awam juga berjalan mengikut perancangan, termasuk pengoperasian 250 bas elektrik serta liputan rangkaian rel sepanjang 800 kilometer.

Di Sarawak pula, katanya, Fasa 1 pembangunan hab hidrogen bagi Transit Aliran Automatik (ART) dijadualkan siap pada penghujung tahun ini.

“Tatkala ketidaktentuan geopolitik dan krisis bekalan terus mencengkam dunia, Malaysia mesti bersiap siaga untuk menjamin keterjaminan tenaga jangka panjang.

“Justeru, kerajaan akan mengkaji keperluan serta strategi untuk mewujudkan stok simpanan petroleum negara sebagai langkah memperkukuh daya tahan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau menegaskan kerajaan MADANI akan terus memperkukuh agenda peralihan tenaga bagi memastikan bekalan tenaga negara kekal mampan, berdaya tahan dan mampu menyokong pertumbuhan ekonomi dalam jangka panjang.

BACA JUGA Aminuddin sedia tempuh cabaran di Linggi, yakin PH mampu rampas kubu kuat BN