Tok Min imbas suka duka di Sikamat, tekad bekerja keras untuk rakyat di DUN Linggi

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengimbas kenangan selama empat penggal menerajui Sikamat dalam menepis dakwaan kononnya beliau lari dari Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

Mesra disapa sebagai Tok Min, beliau dalam masa sama tekad akan bekerja keras untuk rakyat di DUN Linggi jika diizinkan Allah menang kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 1 Ogos depan.

Tok Min yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan menegaskan bahawa tindakannya bertanding di Linggi bukan bermaksud beliau lari dari Sikamat.

“Saya bukan lari dari Sikamat.

“Saya ‘pass’ (lepaskan) baton bertanding di kerusi Sikamat buat Ustaz Norazman. Saya dah pesan, jaga Sikamat. Saya sayang Sikamat. Terima kasih Sikamat.

“Saya ke Linggi atas kehendak saya. Ingin berbakti kepada penduduk DUN Linggi.

“Jika Allah izinkan kemenangan, saya akan bekerja keras, lebih lagi untuk penduduk di DUN Linggi,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Susah lelah

Naib Presiden PKR berkenaan mengakui DUN Sikamat banyak meninggalkan kenangan kepadanya sejak memenangi kerusi dalam Parlimen Seremban itu pada 2008.

“Empat penggal saya di Sikamat. Dari seorang ADUN pembangkang, sampai menjadi Menteri Besar pun saya masih di Sikamat.

“Tahun 2008. Sikamat yang sudi memenangkan saya. Kerjaya saya politik mula di sana. Susah, lelah saya penduduk Sikamat yang tahu.

“Ofis atas kedai, dari simple-simple je, kini lebih baik rupa dia.

“Dulu, semasa peruntukan pembangkang terhad, macam-macam cara kami cari duit untuk mendapatkan bantuan untuk penduduk di sana.

“Yang bersama-sama susah senang saya sendiri tahu bagaimana kami sama-sama cari dana, buat program untuk penduduk di sana,” kata bapa kepada lima anak itu.

Selain itu, kongsi Tok Min, 59, lagi, beliau bersilaturahim dengan ramai orang di Sikamat, daripada hubungan ADUN dan rakyat sehinggalah sekarang menjadi rapat macam keluarga.

“Setiap kali pulang mengadakan program bersama rakyat Sikamat, rasa macam pulang ke kampung sendiri.

“Semua keluarga saya pun dah selesa dengan penduduk Sikamat. Isteri dan anak-anak saya pun dah biasa dengan orang Sikamat. Begitulah saya dan Sikamat,” kata Tok Min lagi.

BACA JUGA Anwar zahir dukacita pemergian sahabat karib, Prof John Espasito