Ustaz Shahir jawab tohmahan PH sekular, bawa politik khidmat bukan ketakutan di Paroi

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Paroi, Ustaz Ahmad Shahir Mohd Shah menegaskan bahawa perjuangan gabungan itu bukan untuk mengetepikan agama, sebaliknya menterjemahkan nilai Islam melalui khidmat, keadilan dan kebajikan kepada rakyat.

Setiausaha Pemuda AMANAH Nasional itu berkata, tohmahan kononnya PH bersifat sekular dan meminggirkan agama sering dibangkitkan ketika beliau turun bertemu masyarakat, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu-Islam.

Menurutnya, kebimbangan tersebut perlu ditangani dengan penjelasan yang jujur kerana soal agama sememangnya dekat di hati umat Islam dan tidak boleh dijadikan bahan permainan politik.

“Agama yang saya kenal dan cinta adalah tentang ikhlas berkhidmat, menegakkan keadilan dan menyebarkan ihsan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau yang turut berpengalaman dalam pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan sebagai Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar itu berkata, ajaran Islam tidak harus terbatas kepada perdebatan di pentas politik atau dijadikan modal untuk menakut-nakutkan rakyat.

Sebaliknya, tegas Ustaz Shahir, nilai agama perlu diterjemahkan melalui tindakan nyata seperti menziarahi orang sakit, membantu membaiki rumah yang rosak dan memastikan anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan memperoleh bantuan pendidikan.

Ustaz Shahir, 41, berkata, setiap bantuan yang disalurkan tidak pernah mengambil kira ideologi politik atau latar belakang penerima kerana tanggungjawab utama pemimpin adalah meringankan beban rakyat.

“Di mata kami, mereka adalah rakyat yang sedang memerlukan. Tanggungjawab kami adalah meringankan beban itu,” katanya.

Martabat insan

Lulusan Universiti Malaya (UM) berkenaan turut mempersoalkan pihak yang melabel usaha menjaga kebajikan dan mengangkat martabat insan sebagai agenda sekular, sedangkan nilai kasih sayang, keadilan dan ihsan merupakan antara teras utama ajaran Islam.

Tegasnya, Islam tidak akan hilang hanya kerana umat memilih sebuah pakatan yang mahu bekerja untuk rakyat.

Malah, jelas Ustaz Shahir, keindahan agama akan lebih terserlah apabila diterjemahkan melalui akhlak, kerja nyata dan khidmat yang jujur.

“Saya tidak mahu menawarkan politik ketakutan. Saya mahu menawarkan politik khidmat,” katanya lagi sambil berkongsikan klip rakaman video penjelasan isu sekular itu yang berdurasi tiga minit.

Beliau turut berharap penjelasan itu dapat meredakan kekeliruan, merapatkan jurang dalam masyarakat dan mengembalikan tumpuan kepada perkara paling utama, iaitu berkhidmat untuk rakyat.

“Semoga ia dapat menjernihkan kekeruhan, dan merapatkan semula jurang antara kita. Kita fokus pada apa yang penting: Berkhidmat untuk rakyat,” kata Ustaz Shahir lagi.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bulan depan, Ustaz Shahir dijangka bersaing dengan calon Perikatan Nasional (PN) dari Pas tanpa kehadiran calon BN.

Dalam keputusan PRN 2023, N.25 Paroi dimenangi Pas, Kamarol Ridzuan Mohd Zain, dengan majoriti 5,539 undi.

Kamarol Ridzuan meraih undi keseluruhan sebanyak 23,840 manakala calon PH-AMANAH ketika itu, Norwani Ahmad mendapat 18,301 undi dan calon Bebas, Ahmad Syakir Fitri hanya 944 undi.

BACA JUGA Terbukti SARA bukan bantuan atas kertas, hampir 9 juta rakyat sudah menikmatinya