‘Nak lanyak saya di Linggi?’, Tok Min jawab serangan dengan rekod kerja bukan politik kebencian

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyifatkan serangan terhadap keputusannya bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi sebagai keterlaluan.

Walhal, ujarnya, langkah itu dibuat atas keinginan untuk meluaskan khidmat kepada rakyat di kawasan lain.

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Linggi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) berkenaan berkata, beliau dimaklumkan terdapat pihak yang mahu “lanyak” beliau selepas meninggalkan DUN Sikamat yang diwakilinya selama empat penggal.

“Saya baru dikhabarkan ada orang nak ‘lanyak’ saya di Linggi.

“Aduhai, sampai begitu sekali saya diserang hanya kerana berpindah kawasan setelah empat penggal saya di Sikamat,” katanya menerusi satu catatan yang dikongsikan di media sosial.

Mesra dipanggil Tok Min, beliau berkata, keputusan menawarkan diri di Linggi bukan kerana mahu melarikan diri daripada kawasan lama.

Sebaliknya, kata Tok Min, ia didorong oleh tanggungjawab untuk membawa pengalaman pentadbiran dan rekod kerjanya kepada masyarakat di kawasan berkenaan.

“Saya juga terpanggil untuk berkhidmat kepada rakyat di kawasan lain, terutamanya di DUN Linggi.

“Kawan-kawan tahu rekod saya mengurus negeri,” kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan itu.

Kasih dan sayang

Beliau menegaskan, kempen pilihan raya harus menjadi medan untuk membandingkan prestasi, pencapaian dan kemampuan calon, bukannya ruang untuk melancarkan serangan peribadi atau membangkitkan politik kebencian.

“Tak perlulah kita menyerang sampai begitu sekali sedangkan niat kita hanya mahu meluaskan kasih dan sayang kepada negeri yang kita cintai ini.

“Bandingkan kerja masing-masing kerana pada akhirnya rakyat yang akan menentukan,” katanya.

Untuk rekod, Linggi merupakan kerusi tradisi BN dan dimenangi gabungan itu pada PRN lepas dengan majoriti 1,461 undi.

Mengulas lanjut, Tok Min mengajak warga Linggi bersama-sama meneruskan usaha meningkatkan pencapaian serta prestasi Negeri Sembilan.

“Kepada warga DUN Linggi, marilah bersama kita bekerja untuk tingkatkan pencapaian dan prestasi Negeri Sembilan, insya-Allah,” katanya.

Aminuddin antara 36 calon PH yang bertanding pada PRN Negeri Sembilan, 1 Ogos depan.

Semalam, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan ketika berucap pada majlis pengumuman calon BN PRN Negeri Sembilan menegaskan akan memberi tentangan sengit kepada Aminuddin Harun di Linggi.

“Kita kejar dia pergi mana. Sampai mana?

“Dia hendak pergi Linggi, kita pergi ramai-ramai. Kita lanyak di Linggi pula,” kata Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat.

Pada PRN ke-15 pada 2023, PH membentuk kerajaan Negeri Sembilan bersama BN selepas memperoleh kemenangan di 31 daripada 36 kerusi DUN.

PH memenangi 17 kerusi, BN 14 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh lima kerusi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon pada 18 Julai manakala pengundian awal pada 28 Julai ini.

BACA JUGA Isu nama jalan diputar jadi sentimen kaum, ini fakta sebenar tindakan Tok Min