Moody’s kekalkan A3 Malaysia, unjur pertumbuhan terpantas dalam kalangan negara bertaraf A
Agensi penarafan antarabangsa Moody’s Ratings mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada A3 dengan Tinjauan Stabil, sambil mengunjurkan pertumbuhan ekonomi negara pada 2026 mengatasi purata negara lain yang mempunyai penarafan sama.
Dalam laporan terbaharunya 14 Julai lalu, Moody’s menyatakan asas ekonomi Malaysia kekal kukuh, disokong oleh kepelbagaian ekonomi, institusi yang stabil serta kemajuan reformasi fiskal yang sedang dilaksanakan kerajaan.
Lebih menarik, agensi itu menjangkakan pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 2026 akan mengatasi beberapa negara berpenarafan “A”, termasuk purata rakan setara, sekali gus mencerminkan keyakinan terhadap prospek ekonomi negara.
Moody’s turut berpandangan langkah pembaharuan fiskal yang diteruskan kerajaan, termasuk usaha memperkukuh kedudukan kewangan awam dan meningkatkan hasil negara, akan membantu mengekalkan daya tahan ekonomi dalam jangka sederhana.
Penarafan A3 merupakan kategori pelaburan (investment grade) yang menunjukkan Malaysia mempunyai keupayaan kukuh memenuhi komitmen kewangan dengan risiko kredit yang relatif rendah.
Status Tinjauan Stabil pula memberi isyarat bahawa Moody’s tidak menjangkakan perubahan terhadap penarafan tersebut dalam tempoh terdekat sekiranya asas ekonomi kekal kukuh.
Pengekalan penarafan itu dilihat mampu meningkatkan keyakinan pelabur asing, selain membantu negara mendapatkan kos pembiayaan yang lebih kompetitif di pasaran kewangan antarabangsa.
Laporan Moody’s itu hadir ketika Malaysia terus melaksanakan agenda reformasi ekonomi dan fiskal bagi memperkukuh pertumbuhan jangka panjang di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global.
BACA JUGA Isu nama jalan diputar jadi sentimen kaum, ini fakta sebenar tindakan Tok Min