Marzuki dedah ‘permainan’ Pas, dakwa penyatuan Melayu gagal kerana tipu muslihat
Bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Ahmad Marzuki Mohamad mendakwa keputusan Bersatu bertanding menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan berpunca daripada tindakan Pas yang didakwa mengenepikan parti itu dalam rundingan Perikatan Nasional (PN).
Dalam satu kenyataan hari ini, Marzuki berkata beliau tampil menjelaskan kronologi peristiwa yang membawa kepada keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, sambil mendakwa penyatuan orang Melayu tidak akan berjaya jika dibina melalui “tipu helah dan tipu daya”.
Menurutnya, episod itu bermula pada 12 Julai apabila Jawatankuasa Rundingan Kerusi PN bermesyuarat dan wakil Bersatu bertanyakan sama ada Pas akan bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dalam PRN Negeri Sembilan.
Katanya, wakil Pas mengesahkan kerjasama itu, manakala Bersatu menyatakan hasrat mempertahankan dua kerusi penyandangnya di Labu dan Gemas atas tiket PN serta meminta masa mendapatkan mandat parti berhubung kerjasama dengan BN sebelum mesyuarat ditangguhkan ke hari berikutnya.
Bagaimanapun, pada 13 Julai, katanya, mesyuarat rundingan kerusi itu ditangguhkan selepas Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan empat Ahli Parlimen Bersatu mengemukakan surat kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) bagi mempersoalkan status parti tersebut.
Marzuki mendakwa alasan itu tidak munasabah kerana isu berhubung korum MPT Bersatu telah dijelaskan oleh kepimpinan parti serta peguamnya, selain tiada sebarang tindakan diambil oleh ROS.
Beliau turut mendakwa pada 14 Julai, Takiyuddin menghantar surat kepada Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, meminta penjelasan mengenai status parti serta memberi tempoh dua hari sebelum Bersatu tidak lagi dilibatkan dalam proses membuat keputusan dan aktiviti PN.
Menurut Marzuki, tindakan itu disifatkan sebagai usaha mengenepikan Bersatu secara konstruktif daripada rundingan pembahagian kerusi.
Katanya lagi, pada 15 Julai, laporan mengenai pemuktamadan rundingan kerusi antara BN dan PN-Pas mula tersebar, selain poster rasmi pengumuman calon PN yang tidak memaparkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Dalam keadaan Bersatu tidak dirunding dan tidak dimaklumkan mengenai pembahagian kerusi, MPT Bersatu membuat keputusan untuk bertanding menggunakan logo sendiri,” katanya.
Marzuki turut mempertikaikan kenyataan Ketua Penerangan PN, Tan Sri Annuar Musa, yang mendakwa Bersatu secara sukarela berpisah daripada PN dan bertindak mendahului keputusan Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi PN.
Sebaliknya, beliau mendakwa Bersatu tidak dijemput menghadiri mesyuarat berkenaan, malah poster pengumuman calon PN telah diedarkan lebih awal sebelum mesyuarat berlangsung.
“Nampak tak permainan mereka?” katanya.
Mengakhiri kenyataannya, Marzuki menegaskan penyatuan orang Melayu tidak boleh dicapai melalui muslihat.
“Penyatuan Melayu tidak boleh dicapai melalui tipu helah dan tipu daya. Matlamat tidak menghalalkan cara. The end does not justify the means(matlamat tidak menghalalkan cara). Biarlah fakta berbicara,” katanya.
Setakat ini, Pas dan kepimpinan PN belum mengeluarkan maklum balas terhadap dakwaan yang dikemukakan oleh Marzuki.
BACA JUGA RM60 bilion untuk PMKS: Steven Sim mahu usahawan ‘menang sebagai rakyat Malaysia’