Hala tuju BN dipersoal, Mat Sabu bimbang masa depan Kerajaan Perpaduan

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu mempersoalkan sama ada era kerjasama erat antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan bakal berakhir susulan perkembangan politik terbaharu di Johor dan Negeri Sembilan.

Beliau berkata, kerjasama kedua-dua gabungan itu terbentuk selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022 menyaksikan tiada mana-mana pihak memperoleh majoriti mencukupi untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.

Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, mengakui beliau sendiri pada awalnya tidak pernah membayangkan PH akan bekerjasama dengan BN, sebuah gabungan yang sekian lama menjadi seteru politik mereka.

“Tidak pernah saya menyangka bahawa Barisan Nasional, yang sekian lama menjadi musuh politik kita, khususnya Pakatan Harapan, akan bersama-sama membentuk kerajaan atas nama perpaduan.

“Saya sendiri tertanya-tanya, bagaimana hendak berhadapan dan bekerjasama dengan Umno yang telah begitu lama menjadi musuh politik saya? Namun, perubahan dalam pemikiran dan tindakan perlu dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu, keikhlasan kerjasama PH-BN mula diuji dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram susulan pemergian Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Beliau berkata, Umno dan BN ketika itu memberikan kerjasama penuh dengan berkempen, bergerak serta bekerja bersama-sama bagi memastikan kemenangan calon PH yang mewakili Kerajaan Perpaduan.

Semangat yang sama kemudiannya diteruskan dalam beberapa PRK lain, termasuk di DUN Pelangai apabila PH membantu memenangkan calon BN.

Kerjasama itu turut mencatat sejarah dalam PRK Kuala Kubu Baharu apabila pemimpin Umno dan BN turun berkempen bagi membantu calon DAP.

Kekal kukuh

Walaupun PH tewas dalam PRK Sungai Bakap, Mohamad berkata hubungan dalam Kerajaan Perpaduan kekal kukuh dan diteruskan dalam PRK Nenggiri.

Di Nenggiri, jentera PH turun membantu calon BN sehingga kerusi berkenaan berjaya dirampas semula daripada lawan.

“Begitulah juga dalam Pilihan Raya Kecil DUN Mahkota. Pada peringkat awal, terdapat sedikit perselisihan tentang siapa yang layak bertanding dan parti mana yang patut meletakkan calon.

“Akhirnya, Umno dan Barisan Nasional bertanding, manakala Pakatan Harapan bekerja keras sehingga calon Kerajaan Perpaduan memperoleh majoriti yang cukup besar,” katanya.

Mohamad menambah kerjasama PH-BN diteruskan dalam PRK Ayer Kuning apabila kedua-dua gabungan berganding bahu memenangkan calon UMNO-BN.

Namun, ujarnya, hubungan yang dibina sejak 2022 kini berdepan persoalan besar selepas BN Johor memilih untuk bergerak secara bersendirian dalam pilihan raya negeri.

Beliau merujuk keputusan BN untuk bertanding di kesemua 56 kerusi selepas DUN Johor dibubarkan pada 1 Jun lalu.

Keadaan menjadi semakin membimbangkan, katanya, apabila 14 ADUN Umno-BN di Negeri Sembilan menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Tindakan itu didakwa membuka ruang kepada kemungkinan kerjasama dengan wakil pembangkang, termasuk Pas, untuk mengambil alih pentadbiran negeri.

Mohamad berkata, menjelang hari penamaan calon PRN Negeri Sembilan, kerjasama antara BN dan Perikatan Nasional (PN) dilihat semakin jelas apabila kedua-dua blok berkenaan saling melengkapi pembahagian 36 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Perkembangan itu meletakkan AMANAH, yang menurutnya kekal teguh mempertahankan pembentukan Kerajaan Perpaduan, dalam keadaan serba sukar.

“Saya yang mendukung Kerajaan Perpaduan dan Parti Amanah Negara yang berdiri teguh dalam membentuk kerajaan ini, kini berada di persimpangan.

“Apakah Kerajaan Perpaduan ini akan terus dipelihara, ataupun yang sebaliknya akan berlaku?” soal Mohamad lagi.

BACA JUGA Pesanan Erdogan tidak diendah, kesepakatan dipersia berpaling ke PN di Negeri Sembilan