‘Bila masa MCA ada prinsip?, Pas bukan parti Islam’ – Puad
Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menempelak Pas dan MCA yang disifatkan sebagai hipokrasi politik dalam berebut kuasa.
Beliau menyelar kebimbangan Pemuda MCA terhadap kerjasama politik dengan Pas kerana menurutnya, prinsip sering diketepikan apabila kuasa menjadi matlamat utama.
Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu mempersoalkan kenyataan Setiausaha Agung Pemuda MCA, Saw Yee Fung yang mendakwa kerjasama sedemikian boleh menggadaikan prinsip parti.
“Dia kata itu menggadai prinsip. Bila masa MCA ada prinsip?” tempelaknya menerusi satu kenyataan di Facebook, sebentar tadi.
Perjuangan hudud
Dalam masa sama, Puad turut menegaskan bahawa Pas sendiri tidak lagi konsisten dengan imej perjuangan Islam yang sering dibawanya, termasuk dalam soal hubungan dengan parti sekutu.
Menurutnya, Pas tidak lagi menonjolkan perjuangan hudud seperti sebelum ini, malah cara parti itu menguruskan hubungan dengan Bersatu juga wajar dipersoalkan.
“Cara Pas berkawan pun tidak Islamik. Tengok cara Pas tendang Bersatu. Apakah itu Islamik?” soalnya.
Beliau berkata, permainan isu agama dan dakwaan Islamofobia tidak lagi relevan dalam percaturan politik semasa, sebaliknya hanya digunakan secara terpilih apabila memberi keuntungan kepada pihak tertentu.
Puad berpandangan sikap sedemikian bukan sahaja berlaku dalam perseteruan antara DAP dan MCA, malah turut dapat dilihat dalam hubungan Pas dengan DAP serta MCA.
Menurutnya, sejarah politik membuktikan bahawa parti-parti yang berbeza ideologi sanggup bekerjasama jika mempunyai musuh politik dan matlamat kuasa yang sama.
Beliau merujuk kepada Pilihan Raya Umum ke-13 pada 2013, ketika DAP berdepan kemungkinan tidak dapat menggunakan lambang roket susulan pertikaian berhubung pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu pada 2012.
Pas lembut
Pada ketika itu, kata Puad, Pas yang bersama DAP dalam Pakatan Rakyat menawarkan lambang bulan kepada calon-calon DAP jika parti berkenaan tidak dibenarkan menggunakan simbol sendiri.
Puad berkata, surat kebenaran berhubung perkara tersebut turut ditandatangani oleh Setiausaha Agung PAS ketika itu, Mustafa Ali.
Bagaimanapun, pada malam 19 April 2013, imbasnya, sehari sebelum penamaan calon, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan dilaporkan membenarkan DAP menggunakan lambang roketnya.
“Kenapa Pas lembut ketika itu? Kerana objektif mereka ialah untuk kalahkan BN pada PRU 2013,” tegasnya.
Mantan Ahli Parlimen Batu Pahat itu mendakwa keadaan politik sekarang juga tidak jauh berbeza kerana matlamat utamanya adalah untuk menjatuhkan Pakatan Harapan.
Beliau yang juga bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) berkata, sebab itu parti seperti Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) masih kekal bersama Perikatan Nasional (PN) walaupun terdapat perbezaan ideologi dan pendirian.
Sehubungan itu, beliau menjangkakan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong tidak akan terlalu mempedulikan kebimbangan yang dibangkitkan oleh Setiausaha Agung Pemuda MCA.
“Itulah politik ‘merebut kuasa’,” kata Puad lagi.
BACA JUGA Ustaz Shahir cakna isu anak muda, ini fokus calon PH di DUN paling ramai di Negeri Sembilan