AMH desak menteri, timbalan BN segera letak jawatan dari Kabinet susulan kerjasama PN

Semua menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak untuk meletakkan jawatan segera daripada Kabinet, susulan perkembangan terkini menyaksikan parti itu secara terbuka bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) di Johor dan Negeri Sembilan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Angkatan Muda Harapan (AMH) berkata, tindakan BN yang sanggup bekerjasama dengan PN secara terbuka merupakan bukti jelas bahawa BN tidak menghargai kepercayaan serta kedudukan yang diberikan oleh PMX kepada mereka dalam Kerajaan Perpaduan.

AMH juga menempelak kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang menyatakan secara terbuka bahawa sokongan pengundi kepada calon BN dan PN di peringkat negeri merupakan medan uji formula dan berpotensi diterjemahkankepada skala nasional menjelang PRU16.

“Pengakuan Pengerusi BN menunjukkan bahawa kerjasama BN-PN tersebut bukan lagi bersifat sementara atau taktikal, sebaliknya merupakan persediaan ke arah pembentukan jajaran politik baharu yang menimbulkan persoalan serius terhadap komitmen BN dalam Kerajaan Perpaduan.

“Tamak hilang malu, loba dapat kebiasaan. Kenyataan sebegini secara jelas menunjukkan bahawa BN ternyata tidak lagi menghargai semangat kerjasama dengan PH dalam Kerajaan Perpaduan, meskipun memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri, beberapa jawatan menteri, dan jawatan-jawatan penting lain dalam Kerajaan Perpaduan” katanya.

Kenyataan itu dibuat bersama antara Ketua Penerangan AMH yang juga Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Ammar Atan; Setiausaha Publisiti DAPSY Kebangsaan, Ho Chi Yang; Ketua Penerangan AMK Danish Hairudin; dan Pengarah Biro Komunikasi WARDA, Syazana Nasir

Kenyataan itu menyebut bahawa tindakan BN yang berulang kali menguji kesabaran rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan menimbulkan persoalan serius terhadap komitmen sebenar BN.

Mereka turut mengingatkan bagaimana kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor yanf sekian lama diterajui oleh gabungan PH, namun tetap memperuntukkan jawatan EXCO kepada BN selepas PRN 2023 demi menghormati semangat Kerajaan Perpaduan.

“Sehubungan dengan itu, AMH menggesa semua menteri dan timbalan menteri daripada BN meletakkan jawatan dengan kadar segera, agar BN dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada usaha mengukuhkan kerjasama politik dengan PN dan tidak menjejaskan pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

“AMH percaya bahawa peletakan jawatan Menteri dan Timbalan Menteri oleh BN merupakan langkah yang wajar diambil untuk mengurangkan kekeliruan rakyat terhadap modus operandi BN.

“Ia juga boleh menghentikan sikap “talam dua muka”

dan memastikan bahawa “formula baharu BN-PN” yang diidam-idamkan boleh direalisasikan sepenuhnya,” tambahnya lagi.

AMH berkata, peletakan jawatan para menteri dan timbalan menteri BN turut dapat mengurangkan risiko sebarang percubaan menebuk atap yang boleh menjejaskankestabilan Kerajaan Perpaduan, sekali gus memberi ruang kepada kerajaan untuk menumpukan sepenuhnya kepada usaha memperkukuh ekonomi, menarik pelaburan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

BACA JUGA Jangan biar usaha sejak 2018 terhenti, PM rayu rakyat beri mandat lebih kukuh kepada HARAPAN