Perang habis-habisan terhadap ‘scam’: 5.5 bilion SMS, panggilan meragukan berjaya disekat
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dengan kerjasama pemberi perkhidmatan telekomunikasi berjaya menyekat sebanyak 3.04 bilion SMS dan 2.5 bilion panggilan meragukan serta berunsur penipuan bagi tempoh 1 Januari 2022 hingga 30 Jun lalu.
Dalam masa sama, sebanyak 190,429 talian mudah alih dan tetap yang dikenal pasti menghantar SMS meragukan turut ditamatkan sepanjang tempoh berkenaan.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, langkah itu bagi membendung penyalahgunaan perkhidmatan komunikasi untuk tujuan penipuan, sekali gus melindungi orang ramai daripada menjadi mangsa sindiket scam.
“MCMC sentiasa bekerjasama rapat dengan PDRM melalui tindakan seperti permohonan penurunan kandungan media sosial, sekatan laman sesawang serta pemberian sokongan teknikal termasuk pembekalan maklumat dan analisis forensik digital bagi membantu siasatan.
“Di samping itu, MCMC melaksanakan tindakan kawal selia dan penguatkuasaan sekiranya terdapat pelanggaran terhadap peruntukan undang-undang di bawah bidang kuasanya, khususnya Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866),” jelasnya.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata demikian dalam jawapan lisan disiarkan di laman web Parlimen bagi menjawab soalan Datuk Seri S Vell Paari Samy Vellu (MIC).
Beliau menegaskan MCMC juga melaksanakan pemantauan secara proaktif dan boleh mengambil tindakan terhadap kandungan dalam talian yang memudaratkan selaras dengan Seksyen 233 Akta 588.
Penipuan kewangan
Di bawah Akta 866, kata Ahli Parlimen Lembah Pantai itu, MCMC boleh mengambil tindakan terhadap kandungan membabitkan penipuan kewangan sebagai usaha memperkukuh keselamatan dalam talian.
“Bagi tempoh 1 Januari 2026 hingga 7 Julai 2026, sebanyak 158 aduan berkaitan aktiviti penipuan panggilan, termasuk penyamaran sebagai pegawai Kerajaan, telah diterima dan diproses melalui saluran utama penyelesaian aduan pengguna iaitu Consumer Redress Portal (CRP),” katanya.
Menurutnya, arahan sekatan terhadap kandungan terlarang di dalam SMS yang meliputi kandungan pautan (hyperlink), permohonan maklumat peribadi dan nombor telefon untuk dihubungi telah dikuatkuasakan sejak 1 September 2024.
“Sekiranya pengguna mengesyaki sesuatu akaun atau kandungan mempunyai unsur palsu atau penipuan, pengguna disarankan untuk segera membuat laporan kepada pemberi perkhidmatan berkenaan bagi tindakan sewajarnya selain melaporkan kepada pihak berkuasa.
“Bagi kes melibatkan pemindahan wang atau menjadi mangsa penipuan kewangan, orang ramai perlu menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) melalui talian 997 dengan segera bagi membolehkan tindakan pantas diambil untuk membantu menyekat aliran dana dan menyokong siasatan pihak berkuasa,” kata Fahmi lagi.
BACA JUGA RM1.5 juta melonjak lebih RM30 juta, anak muda diseru pilih fakta tolak politik sentimen