BN-PN bergabung? Mat Sabu kata jangan panik, rakyat akan tentukan

 Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu mengakui gabungan antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) berpotensi mengubah landskap politik negara, namun mengingatkan penyokong Pakatan Harapan (PH) supaya tidak panik berdepan perkembangan itu.

Sebaliknya, beliau berkata PH perlu terus memberi tumpuan kepada usaha membela rakyat dan mempertahankan rekod pentadbiran Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ada yang menyuarakan kebimbangan kepada Bang Mat mengenai senario politik terkini.

“Bang Mat tidak menafikan bahawa jika BN dan PN bergabung, landskap politik boleh berubah. Itu satu hakikat yang perlu kita terima dengan tenang. Kita tidak perlu panik, sebaliknya bersedia menghadapinya dengan matang,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menurut Mohamad, kerjasama politik adalah hak mana-mana parti, namun AMANAH, dan PH akan terus berpegang kepada pendekatan yang mengutamakan kepentingan rakyat serta negara berbanding kepentingan politik sempit.

Beliau turut mengingatkan bahawa hubungan antara Umno dan Pas bukan sesuatu yang baharu dalam sejarah politik negara.

“Pas dan Umno bukan baru menjalin hubungan. Mereka pernah bersama dan pernah berpisah. Jika mereka memilih untuk kembali bersama, kita lihat sahaja bagaimana perjalanan itu nanti dan sejauh mana keserasian itu dapat bertahan,” katanya.

Mohamad berkata kerajaan pimpinan Anwar komited mempertahankan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, institusi Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu dan hak Bumiputera seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Pada masa sama, katanya, kerajaan tidak akan terperangkap dengan politik yang bersandarkan sentimen perkauman atau ketakutan.

Beliau berkata usaha membela orang Melayu perlu diterjemahkan melalui dasar yang meningkatkan pendidikan, ekonomi, penguasaan teknologi dan daya saing, bukannya dengan terus menanam persepsi bahawa masyarakat itu sentiasa berada dalam ancaman.

“Membela Melayu bukan dengan mengulang naratif bahawa Melayu sentiasa terancam. Jika kita terus menanam rasa lemah, bila kita nak membina kekuatan?

“Tanggungjawab kerajaan ialah membina keyakinan, bukan menyemai ketakutan,” katanya.

Mohamad berkata beliau percaya masyarakat Melayu kini semakin matang dan mampu menilai politik berdasarkan prestasi serta dasar, bukannya sentimen semata-mata.

“Melayu yang kuat bukanlah Melayu yang hidup dalam ketakutan, tetapi Melayu yang berilmu, bermaruah, berintegriti, yakin diri dan berani bersaing dengan sesiapa sahaja,” katanya.

BACA JUGA Mesyuarat sulit nak tumbangkan kerajaan? GRS,GPS pula kata tak pernah tahu