RENCANA | PRN Negeri Sembilan 2026: Kesetiaan politik atau kesetiaan kepada kuasa?
Dr Azrie Azeh
Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan 2026 berlangsung dalam suasana politik Malaysia yang masih mencari titik keseimbangan antara persaingan demokrasi, kestabilan pemerintahan dan kelangsungan politik gabungan.
Malah, lebih daripada sekadar menentukan parti yang bakal membentuk kerajaan negeri. Proses pilihan raya ini merupakan ukuran terhadap kematangan sistem politik negara dalam mengurus kepelbagaian, mengurus perbezaan, memelihara kepercayaan dan menzahirkan komitmen kepada mandat rakyat yang memberi undi kepada parti mereka.
Landskap politik Malaysia pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 telah mengubah paradigma politik negara daripada dominasi parti tunggal kepada politik gabungan yang lebih kompleks.
Sehubungan itu, dalam persekitaran baharu ini, kejayaan sesebuah kerajaan tidak lagi bergantung semata-mata kepada jumlah kerusi yang dimenangi oleh parti yang bertanding, tetapi merujuk juga kepada keupayaan dalam membina kepercayaan antara parti-parti komponen, mengurus perbezaan secara matang dan mengekalkan kestabilan pentadbiran.
Politik gabungan bukan lagi suatu pilihan strategik, sebaliknya telah menjadi suatu keperluan institusi dalam demokrasi Malaysia.
Ahli sains politik, Kaare Strom menegaskan bahawa kelangsungan sesebuah kerajaan gabungan tidak bergantung semata-mata pada pembahagian kuasa atau agihan jawatan, tetapi pada komitmen jangka panjang terhadap matlamat bersama, disiplin gabungan dan kepercayaan antara rakan politik.
Tanpa elemen-elemen ini, sesebuah gabungan akan mudah terdedah kepada konflik dalaman yang akhirnya menjejaskan legitimasi kerajaan di mata rakyat.
Merujuk kepada pengalaman politik Malaysia sejak tahun 2018 telah memberikan pengajaran yang amat bernilai.
Perubahan kerajaan di peringkat Persekutuan, penghijrahan wakil rakyat, penyusunan semula jajaran politik serta pertelingkahan terbuka antara parti-parti gabungan telah menimbulkan persoalan besar tentang makna sebenar kesetiaan dalam politik.
Episod-episod tersebut bukan sahaja menghakis keyakinan rakyat terhadap ahli politik, malah turut menjejaskan persepsi terhadap kestabilan institusi demokrasi serta keyakinan pelabur terhadap hala tuju negara.
Dalam teori Political Support, David Easton menjelaskan bahawa legitimasi sesebuah kerajaan bukan hanya bergantung pada kemenangan pilihan raya, tetapi juga pada tahap kepercayaan rakyat terhadap institusi politik.
Apabila rakyat melihat prinsip berubah mengikut percaturan kuasa, atau persefahaman politik diketepikan demi kepentingan jangka pendek, sokongan terhadap institusi demokrasi turut terjejas.
Demokrasi akhirnya kehilangan roh apabila mandat rakyat dilihat sekadar instrumen untuk memperoleh kuasa, bukannya amanah untuk ditunaikan. Implikasi yang paling besar akan menyebabkan kecenderungan pengundi untuk keluar mengundi akan berkurangan.
Oleh itu, kesetiaan dalam politik perlu ditafsirkan secara lebih bermakna. Kesetiaan bukanlah kepatuhan membuta tuli kepada pemimpin atau parti.
Sebaliknya, ia ialah komitmen untuk menghormati keputusan yang dicapai melalui musyawarah, mempertahankan persefahaman yang telah dipersetujui dan mendahulukan kepentingan rakyat mengatasi keuntungan politik sementara.
Dalam sistem demokrasi berparlimen yang berasaskan tradisi Westminster, prinsip collective responsibility menuntut setiap anggota kerajaan mempertahankan keputusan bersama walaupun wujud perbezaan pandangan ketika proses membuat keputusan. Inilah ukuran sebenar disiplin politik dalam sesebuah gabungan.
Negeri Sembilan mempunyai budaya politik yang relatif sederhana dan pragmatik. Pengundinya lazimnya lebih menilai keupayaan mentadbir, kestabilan pentadbiran dan pencapaian dasar berbanding retorik politik yang bersifat sementara.
Oleh itu, PRN Negeri Sembilan 2026 bukan sekadar menguji kekuatan jentera pilihan raya, tetapi menjadi pentas untuk menilai sejauh mana gabungan politik benar-benar menghayati semangat kerjasama yang mereka laungkan.
Namun demikian, persoalan yang lebih besar perlu diajukan kepada seluruh ekosistem politik negara, adakah kesetiaan dalam politik Malaysia hari ini benar-benar berasaskan prinsip, atau sekadar berubah mengikut kedudukan dan akses kepada kuasa? Persoalan ini bukanlah bersifat retorik.
Realiti politik mutakhir ini memperlihatkan kepada masyarakat bahawa terdapat kecenderungan sebahagian elit politik mengubah pendirian mengikut perubahan konfigurasi kuasa.
Demokrasi rapuh
Ketika berada dalam kerajaan, kestabilan dijadikan hujah utama. Apabila berada di luar kerajaan, prinsip yang sama adakalanya ditafsirkan secara berbeza demi memenuhi kepentingan politik semasa.
Fenomena ini mewujudkan persepsi bahawa kesetiaan sering kali bersifat transaksional, bukannya berasaskan nilai dan tanggungjawab kepada rakyat.
Kritikan ini tidak seharusnya ditujukan kepada mana-mana parti tertentu, sebaliknya menjadi cerminan kepada keseluruhan budaya politik negara.
Politik yang terlalu berorientasikan perebutan kuasa akan melahirkan demokrasi yang rapuh kerana tumpuan beralih daripada persaingan idea kepada persaingan kedudukan. Apabila politik kehilangan dimensi moralnya, rakyat akhirnya menjadi semakin skeptikal terhadap institusi yang sepatutnya mereka yakini.
Dalam era digital, rakyat semakin matang dan kritikal. Mereka tidak lagi sekadar menilai manifesto atau pidato kempen, bahkan memerhati tingkah laku politik pemimpin, disiplin parti-parti gabungan, cara konflik diuruskan dan sejauh mana prinsip dipertahankan ketika berdepan cabaran.
Kredibiliti politik hari ini dibina melalui konsistensi antara kata-kata dengan tindakan, bukannya melalui slogan yang mudah diungkapkan ketika musim pilihan raya.
Kestabilan politik pula mempunyai hubungan langsung dengan pembangunan ekonomi. Pelabur memerlukan kepastian dasar, penjawat awam memerlukan kesinambungan pentadbiran, manakala rakyat memerlukan kerajaan yang mampu memberikan tumpuan kepada penyelesaian isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendidikan dan kesejahteraan sosial.
Oleh itu, kesetiaan dalam sesebuah gabungan bukan sekadar nilai etika, bahkan merupakan prasyarat kepada tadbir urus yang berkualiti dan pembangunan yang mampan.
PRN Negeri Sembilan 2026 sewajarnya menjadi titik tolak kepada pengukuhan budaya politik yang lebih berintegriti. Persaingan politik ialah asas demokrasi, namun persaingan yang sihat tidak boleh mengorbankan amanah, kepercayaan dan tanggungjawab terhadap mandat rakyat.
Gabungan politik yang matang ialah gabungan yang mampu mengekalkan perpaduan tanpa menafikan kepelbagaian pandangan serta berani mempertahankan prinsip walaupun berdepan tekanan politik.
Akhirnya, sejarah tidak hanya mengingati siapa yang memenangi sesuatu pilihan raya. Sejarah lebih menghargai mereka yang berjaya mempertahankan amanah, memelihara persefahaman dan membuktikan bahawa kuasa hanyalah alat untuk berkhidmat, bukannya matlamat perjuangan.
Dalam konteks PRN Negeri Sembilan 2026, persoalan yang paling penting bukanlah siapa yang menang, tetapi siapa yang benar-benar setia-setia kepada prinsip, setia kepada rakan gabungan, setia kepada institusi demokrasi dan, yang paling utama, setia kepada rakyat yang memberikan mandat.
BACA JUGA Mesyuarat sulit nak tumbangkan kerajaan? GRS,GPS pula kata tak pernah tahu