Agama bukan alat rebut kuasa, Sultan Nazrin beri peringatan tegas
Amalan mengeksploitasi agama demi kepentingan politik sempit disifatkan sebagai antara ancaman terbesar terhadap perpaduan rakyat dan integriti negara, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Baginda bertitah, Malaysia dan dunia Islam perlu sentiasa berwaspada terhadap pihak yang memanipulasi sentimen agama sehingga mencetuskan perpecahan dalam masyarakat, sedangkan agama seharusnya menjadi asas penyatuan, bukannya alat memecah-belahkan rakyat.
“Manipulasi agama untuk membenarkan perpecahan, bukannya perpaduan serta pengecualian, bukannya keterangkuman,” titah baginda ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Mengenai Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) Ke-8 di sini, hari ini.
Menurut baginda, kekuatan sesebuah negara tidak boleh diukur semata-mata melalui kemampuan pertahanan, kecanggihan teknologi atau keupayaan menangani ancaman siber dan ekstremisme.
Sebaliknya, titah baginda, benteng keselamatan yang paling kukuh ialah perpaduan sosial yang terjalin dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama.
Sultan Nazrin bertitah integriti nasional hanya dapat diperkasakan apabila setiap warganegara merasakan mereka mempunyai kepentingan bersama terhadap masa depan negara.
“Apabila rasa memiliki terhadap negara itu tiada, sebesar mana sekali pun jentera keselamatan tidak mampu menggantikannya,” titah baginda.
Baginda turut mengingatkan bahawa perpaduan tidak akan dapat dipupuk melalui paksaan atau usaha menekan pandangan yang berbeza.
Sebaliknya, perpaduan yang berkekalan perlu dibina berasaskan prinsip keadilan, keterangkuman dan rasa memiliki dalam kalangan seluruh rakyat.
Dalam pada itu, Sultan Nazrin turut menyeru agar sistem pendidikan negara terus diperkukuh bagi melahirkan generasi yang bukan sahaja menguasai teknologi dan mampu berfikir secara kritis serta kreatif, malah berpegang teguh kepada nilai ilmu, akhlak dan perpaduan.
Menurut baginda, pendekatan itu amat penting bagi memastikan negara bersedia menghadapi cabaran baharu, termasuk perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI), tanpa mengabaikan asas pembinaan sebuah masyarakat yang bersatu dan berintegriti.
BACA JUGA Bukan sekadar mengenang tokoh, kerajaan MADANI suntik RM2 juta perkukuh legasi pemikiran Al-Qaradawi